REAL SOCIEDAD 2 BARCELONA 2

Ernesto Valverde melepaskan geramnya terhadap mutu pengadilan Javier Alberola Rojas selepas dua keputusan penalti yang diberikannya menyaksikan Barcelona terikat 2-2 di Real Sociedad.

Barca tercicir mata penuh dalam aksi di Basque Country itu awal pagi tadi yang menyaksikan pemain pinjaman daripada Real Madrid, Martin Odegaard, mencetuskan kesan besar kepada Sociedad.

Bagaimanapun, juara bertahan LaLiga berkenaan berasakan mereka sepatutnya dihadiahkan penalti ketika Gerard Pique dan Diego Llorente masing-masing terjatuh ketika cuba menyambut hantaran silang Suarez.

Kekecewaan semakin meningkat buat pelawat apabila Sociedad di hadapan melalui sepakan penalti selepas 12 minit permainan bermula berikutan tindakan Sergio Busquets yang menarik baju Llorente dalam situasi yang hampir sama ketika melibatkan Pique di penghujung perlawanan.

Namun, tatkala media Sepanyol merungut mengenai ketekalan keputusan pengadil, Valverde sebaliknya memilih untuk berhati-hati dalam membuat kesimpulannya mengenai perlawanan itu.

"Dari bangku simpanan, saya melihat perlawanan dengan memberi fokus kepada pasukan sendiri," kata pengurus Barca itu.

"Adakah Pique patut diberikan penalti? Saya tidak melihatnya sebagai insiden berulang tetapi saya akan mengatakan bahawa ia adalah penalti manakala situasi Busquets bukanlah penalti. Saya fikir pengurus Real pula akan mengatakan sebaliknya."

Kegagalan Barcelona untuk mencapai kemenangan bermakna Real Madrid berpeluang untuk berkelebihan dua mata bagi menerajui LaLiga sekiranya menundukkan Valencia menjelang aksi 'El Clasico' di Camp Nou, Khamis ini.

Bagaimanapun, Valverde menjelaskan pasukannya menghadapi tentangan sengit daripada kelab di kedudukan keempat itu: "Kami berdepan sebuah pasukan mantap yang sedang mengharungi musim yang hebat. Perlawanan ini sangat sengit dalam segala hal."

Pengurus berusia 55 tahun itu juga menolak cadangan bahawa rombakan dalam separuh masa kedua, yang menyaksikan Busquets, Jordi Alba dan Ivan Rakitic direhatkan, dibuat kerana pertembungan 'Clasico' sudah bermain di minda mereka.

"Apa yang anda fikirkan? Kami berhempas-pulas di sini, di bangku simpanan, dan kami (dikatakan) memikirkan Clasico? Kami hanya menumpukan apa yang ada di hadapan kami," katanya.