VALENCIA 1 BARCELONA 1

Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, berkata pasukannya sentiasa memilih jalan sukar selepas skuad Catalan itu diikat Valencia 1-1 untuk rekod tanpa kemenangan mereka berterusan dalam aksi LaLiga, awal pagi tadi.


Perlawanan itu, yang menyaksikan Lionel Messi mendukung watak penyelamat sebaik menjaringkan gol penyamaan pasukan, juga merupakan perlawanan liga keempat Barca yang berakhir tanpa kemenangan.

Keadaan mula sukar sebaik mereka bolos seawal minit kedua dengan pertahanan Valencia, Ezequiel Garay, menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru untuk pelawat mendahului sepanjang babak pertama.

Kegagalan Barca meraih kemanangan di Mestalla ini menyaksikan mereka gagal menerajui kembali kedudukan liga, dengan Velverde mula berasa malu dengan permulaan hambar pasukannya.

"Pasukan kami turun dengan mentaliti yang baik, sama seperti empat hari lalu (ketika menundukkan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah). Kami sepatutnya menjaringkan gol awal dan bukannya mereka," kata Valverde.

"Gol seperti itu boleh berlaku dan kami berlatih untuk tidak membenarkannya. Namun, apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.

"Benar, tahun ini kami lebih banyak mengejar dari belakang, sentiasa memilih jalan sukar. Tetapi, kami pasti akan mengatasi masalah ini nanti," tambahnya.

Barca memperoleh kemenangan menakjubkan pertengahan minggu lalu selepas menundukkan Tottenham Hotspur 4-2 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Bagaimanapun, mereka kurang kreativiti dan kehilangan mata untuk ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Sevilla.