Valverde akui Barca bukan dalam prestasi terbaik

Oleh Penulis Jemputan 19 November 2017 666
Valverde akui Barca bukan dalam prestasi terbaik
LEGANES 0 BARCELONA 3

Pengurus Barcelona, ​​Ernesto Valverde, menganggap bahawa pasukannya masih jauh daripada prestasi sebenar mereka walaupun melakar kemenangan 3-0 ke atas Leganes dalam La Liga di Stadium Municipal de Butarque, awal pagi tadi.


Dua gol daripada Luis Suarez dan jaringan lewat menerusi Paulinho cukup untuk Barca meraih kemenangan ke-11 daripada 12 perlawanan dan mengukuhkan kedudukan di puncak La Liga dengan kelebihan tujuh mata.

Barca akan membuat kunjungan ke Juventus untuk aksi Liga Juara-Juara Eropah dan menentang skuad di tangga kedua dalam La Liga, Valencia, minggu depan, dan Valverde sedar pasukannya akan bertambah baik sekiranya mereka memberikan segala-galanya.

"Mungkin 3-0 lebih daripada cukup. Kami mencapai kejayaan yang baik tetapi ini adalah bola sepak. Saya mengiktiraf usaha Leganes hari ini walaupun mereka tewas," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Kami semua suka dengan kemenangan dan mempunyai banyak peluang. Lawan tidak membuat apa-apa tetapi ia tidak selalunya berlaku, mereka sangat agresif. Mereka membuatkan kami sukar, ia adalah permainan rumit dan saya tidak menafikannya.

"Saya fikir hasilnya bagus, kami tidak begitu cemerlang dan kami tahu kami perlu memperbaikinya," ujarnya.

Penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen, beraksi cemerlang dengan menyelamatkan beberapa percubaan, lantas Valverde memuji pemain Jerman itu.

"Ter Stegen mempunyai musim yang hebat, dia memberi kami keyakinan, kami menghargai aksinya," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen