Valencia akan membawa rekod prestasi terbaiknya untuk menghadapi Barcelona minggu depan selepas merangkul kemenangan LaLiga kelapan berturut-turut, semalam.

Setelah menetapkan penanda aras baru kelab dengan tujuh kemenangan liga berturut-turut sebelum rehat antarabangsa, skuad Los Che meneruskan cabaran mereka dengan kemenangan selesa 2-0 di Espanyol.

Geoffrey Kondogbia dan Santi Mina masing-masing menjaringkan gol dalam separuh masa kedua untuk membuka persaingan dengan pendahulu liga, Barca.

Valencia mengutip 30 mata daripada 12 perlawanan, masih empat mata di belakang pasukan Ernesto Valverde itu, dan ia permulaan terbaik buat pasukan itu dalam kempen LaLiga.

Skuad Marcelino juga akan mendapat manfaat daripada tempoh rehat yang panjang untuk pertemuan di Stadium Mestalla, awal pagi Isnin nanti, dengan Barca akan berkunjung ke Juventus bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah, Khamis ini.