Penyerang Uruguay, Edinson Cavani, berkata pasukannya kini lebih fokus untuk aksi seterusnya menentang Russia berbanding memikirkan sama ada bertemu Portugal atau Sepanyol dalam pusingan kedua Piala Dunia 2018.

Uruguay bakal bertemu pasukan tuan rumah itu di Samara malam esok dan memerlukan kemenangan untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya selaku juara Kumpulan A.

Selepas mengesahkan tempat dalam kelompok 16 terakhir susulan kejayaan menundukkan Arab Saudi 1-0, Cavani mendedahkan pasukan bimbingan Oscar Tabarez itu tidak mahu memikirkan soal lawan yang menanti tatkala Sepanyol atau Portugal mungkin skuad yang menantikan kehadiran mereka.

"Tidak sama sekali. Kami hanya fokus untuk aksi terlebih dahulu dan memikirkan tentang aksi seterusnya selepas tamat," kata Cavani.

"Apa yang penting buat kami adalah memenangi aksi malam esok, muncul sebagai juara kumpulan dan melihat akan keputusan perlawanan lain. Pertama sekali, kami harus fokus terhadap persembahan sendiri."

Dalam masa sama, Cavani turut ditanya sama ada dia terkejut tentang keputusan perlawanan dalam Piala Dunia 2018 selepas 11 hari berlangsung.

"Saya tidak begitu terperanjat. Beberapa perlawanan terakhir menyaksikan kebanyakan pasukan hampir mencatat jaringan.

"Ia sifat Piala Dunia di mana kebiasaannya perlawanan berakhir dengan seri atau perbezaan satu gol," tambahnya.

Sementara itu, Tabarez menolak dakwaan bahawa dia akan mengambil peluang menentang Russia untuk merehatkan beberapa pemain sebagai persediaan untuk berdepan aksi pusingan kedua.

"Saya tidak akan mendedahkan kepada anda sebarang perkara yang melibatkan pasukan saya.

"Sebelum ini, saya telah tegaskan bahawa aksi esok amat penting," ujarnya.