Penyerang Uruguay, Edinson Cavani, percaya sokongan padu daripada penyokong mampu membawa pasukannya melangkah lebih jauh dalam Piala Dunia 2018.

Juara Piala Dunia dua kali itu sekadar berada dalam kelompok 16 pasukan terbaik ketika edisi 2014, namun Cavani yakin apabila melihat perkembangan dalam skuad Uruguay dalam beberapa tahun terakhir ini.

Uruguay menamatkan saingan kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan di tangga kedua di belakang Brazil dan mereka mengatasi Uzbekistan 3-0 dalam aksi pemanas badan kelmarin tatkala aksi pertama Piala Dunia 2018 menentang Mesir hanya berbaki seminggu.

Selepas kemenangan ke atas Uzbekistan, Cavani menyatakan keyakinan pasukannya kini di tahap tertinggi untuk menghadapi saingan di Russia.

"Saya rasa semua warga Uruguay yakin dengan pasukan kerana kami berkembang sebagai satu pasukan dan mempamerkan aksi sebagai satu unit," kata Cavani.

"Orang ramai telah menyedarinya. Perasaan ini sangat bagus kerana kami boleh merasakannya di atas padang dan apa yang diperlukan adalah menambahkan lagi usaha dalam sesetengah situasi."

Cavani beraksi dalam kesebelasan utama ketika pertemuan di Montevideo pada Khamis lalu, di mana jaringan Giorgian De Arrascaeta, Luis Suarez dan Jose Maria Gimenez memberikan kemenangan buat skuad kendalian Oscar Tabarez itu.

Mereka kini memenangi tiga perlawanan berturut-turut untuk menuju ke Piala Dunia dan hanya tewas sekali dalam sembilan penampilan sebelum ini.

La Celeste akan memulakan aksi Piala Dunia 2018 pada 15 Jun bertemu Mesir, sebelum menyambung aksi berdepan Arab Saudi lima hari kemudian dan mengakhiri saingan Kumpulan A menentang tuan rumah, Russia.