Dayot Upamecano tidak kelihatan akan meninggalkan pasukan Bundesliga, RB Leipzig, dalam jendela perpindahan yang akan datang kerana tidak akan ada sebarang pergerakan wang besar dalam pasaran pemain, kata ejen pemain itu.

Pemain Perancis berusia 21 tahun itu dilaporkan menjadi pertahanan yang diinginkan Manchester United, Arsenal dan Real Madrid.

Seteru tempatan, Bayern Munich, dikatakan sedang mendahului perlumbaan untuk menandatangani pemain itu sebelum kebanyakan liga di Eropah terpaksa ditangguh berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, dengan keadaan kewangan beberapa kelab besar di Eropah masih belum jelas berikutan krisis Covid-19, wakil Upamecano, Volker Struth, beranggapan pemainnya itu akan kekal di Leipzig buat masa ini.

Bercakap kepada Sport 1, dia berkata: "Saya tidak percaya akan ada perpindahan besar dalam musim panas ini dan saya fikir Upamecano adalah pemain yang memerlukan yuran yang besar.

"Jadi, kenyataannya sudah dibuat."

Dua liga divisyen utama Jerman dijangka akan kembali bersambung hujung minggu depan selepas cadangan untuk meneruskan musim 2019-20 secara tertutup mendapat kelulusan kerajaan.

Bundesliga merupkan liga pertama di Eropah yang mengesahkan perancangan untuk menyambung semula saingan selepas liga itu digantung pada Mac lalu.