Upamecano dalam radar Bayern Munich 

Oleh Shaiful Shamsudin 22 Januari 2021 119
 Upamecano dalam radar Bayern Munich 
Pengerusi Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge, mendedahkan kelab itu sedang memantau kelibat Dayot Upamecano, namun masih terlalu awal untuk mengharapkan pertahanan RB Leipzig menyertai mereka.

Pemain berumur 22 tahun itu telah berkembang menjadi salah seorang pertahanan tengah yang sangat berharga di Eropah dalam musim-musim kebelakangan ini dan digembar-gemburkan akan melibatkan perpindahan lumayan musim panas ini. 

Bayern semakin kerap dikaitkan dengan tonggak Perancis itu, lebih-lebih lagi David Alaba mungkin akan berpindah keluar secara percuma, kemungkinan besar menuju ke Real Madrid.

Rummenigge mengesahkan rancangan perpindahan sedang direncana tetapi belum selesai untuk menyatakan bahawa kesepakatan telah dicapai.

Dia memberi bayangan kepada Bild bahawa Upamecano "akan bertahan di Leipzig sekurang-kurangnya hingga hujung musim ini", sambil menambah "agak terlalu awal" untuk menganggap dia akan menyertai juara bertahan itu.

"Kami akan menangani perkara ini, bukan dia sahaja tetapi apa yang penting ialah posisi yang kami mahukan dan di mana kami harus melakukan sesuatu itu," katanya.

 

Bayern juga mungkin kehilangan Jerome Boateng kerana akan tamat kontrak sejurus musim ini. 

Namun, Rummenigge berkata pemain berusia 32 tahun itu seharusnya memeterai kontrak baru di Allianz Arena selepas kembali mengukuhkan tempatnya dalam perancangan Hansi Flick.

"Jerome sekali lagi memainkan peranan yang bagus. Pengurus berpuas hati dengannya," katanya lagi. 

Rummenigge juga turut menolak cadangan bahawa Bayern akan menjual Leroy Sane tahun ini.

Bekas pemain sayap Manchester City itu hanya bermula tujuh kali dalam Bundesliga pada 2020-21 di sebalik menyumbangkan empat gol dan lima bantuan jaringan.

"Dia mempunyai kontrak lima tahun. Tidak masuk akal (untuk melepaskannya). Kami memerlukan pemain sepertinya," tambahnya.

"Sudah tentu dia akan kekal di sini bersama Bayern. Dan saya yakin dia akan menemui jalan di sini."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen