Timo Werner gembira untuk menandakan kepulangannya ke Leipzig dengan jaringan berganda ketika Jerman menewaskan Ukraine 3-1 dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL) awal pagi tadi.

Selepas Leroy Sane memadamkan jaringan pembukaan Roman Yaremchuk di Red Bull Arena, Werner menjaringkan dua gol untuk meletakkan Jerman di kedudukan teratas Kumpulan A4.

Penyerang itu gembira dengan dua jaringannya sambil berkata skuad Jerman kini semain bagus.

"Gol pertama saya amat sederhana kerana bantuan daripada Leon (Goretzka) amat, amat bagus," kata Werner kepada DFB.de.

"Untuk menjaringkan dua gol di Leipzig ini, di mana saya melalui empat tahun yang hebat, ia memberikan satu perasaan yang luar biasa.

"Saya sentiasa gembira untuk pulang ke Leipzig. Malangnya kami tidak ada sebarang penyokong di sini.

"Secara keseluruhannya, ia satu persembahan yang bagus. Prestasi kami sedang meningkat dan selepas ini, ia kelihatan agak baik. Kami juga semakin kuat di bahagian belakang.

"Kami bekerja keras supaya kami dapat beraksi baik dalam Euro tahun depan.


Goretzka turut menjadi pencetus jaringan penyamaan Sane dan lima percubaannya merupakan yang terbanyak berbanding pemain lain.

Ilkay Gundogan, dalam pada itu, melengkapkan 97 daripada 104 hantaran dan 67 daripadanya di bahagian lawan -- beza 26 hantaran dengan pemain kedua terbaik, Niklas Sule.

Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low, berpuas hati dengan prestasi pasukannya.

"Ia bukan satu perlawanan yang mudah buat kami. Semua orang dapat lihat Ukraine boleh bermain.

"Dalam babak pertama, kami menetapkan tempo yang tinggi dan mengawal permainan.

"Dalam babak kedua, kami kurang keazaman dan beberapa kali kehilangan bola.

"Secara keseluruhan, saya fikir kami boleh berpuas hati.

"Kami terpaksa menggantikan beberapa pemain tetapi kami masih dapat mencari rentak.

"Kami membawa tempo dan ancaman dalam perlawanan ini dengan tiga penyerang pantas di depan, yang menyukarkan pihak lawan.

"Di bahagian pertahanan, kami cuba mematahkan hantaran Ukraine, kerana itu kami cuba meletakkan Robin Koch di tengah.

"Dia melakukan tugasnya dengan baik. Toni Kroos akan kembali bersama pasukan ini untuk menentang Sepanyol, Selasa ini," katanya.

Jerman kini berkelebihan satu mata di depan Sepanyol menjelang pertemuan mereka di Seville minggu depan.