Cristiano Ronaldo merupakan idola Kylian Mbappe tetapi terlalu awal untuk membandingkan kedua-dua pemain itu, kata pengurus Perancis, Didier Deschamps.

Les Bleus akan menyambut kunjungan Portugal awal pagi esok untuk pertembungan Kumpulan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) dengan kedua-dua pasukan itu telah mengumpul enam mata daripada dua perlawanan setakat ini.

Ini bermakna Mbappe akan tampil menentang bintang Juventus itu yang merupakan pemenang lima anugerah Ballon d'Or selain deretan trofi di England, Sepanyol dan Itali termasuk Liga Juara-Juara (UCL) sebanyak lima kali.

Seperti Ronaldo, Mbappe menikmati peningkatan pesat sebagai bintang remaja dan pada usia 21 tahun, dia sudah menggondol Piala Dunia.



Begitupun, Deschamps percaya adalah sukar untuk membandingkan kedua-dua pemain itu yang mempunyai jurang 14 tahun.

"Ronaldo adalah idolanya. Tetapi saya berpendapat bahawa Cristiano sememangnya dijadikan idola oleh ramai bola sepak muda," kata Deschamps dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Amat sukar untuk membandingkan mereka berdua. Cristiano telah beraksi di tahap tertinggi selama bertahun-tahun. Mereka bukannya sebaya. Saya rasa lebih baik membuat perbandingan itu ketika Kylian mencapai umur seperti Cristiano sekarang.

"Mereka adalah dua pemain yang mampu menjadi penentu kepada pasukan mereka. Ini adalah kekuatan Cristiano dan ia juga salah satu kelebihan Kylian walaupun dia lebih muda. Mereka berdua adalah pemain handalan."