PERANCIS 4 SWEDEN 2

Olivier Giroud memadam segala keraguan terhadap kemampuannya di depan gol dengan menyumbangkan dua gol ketika Perancis menundukkan Sweden dalam Liga Negara-Negara (UNL) dengan mengatakan sudah terbiasa berdepan kritikan.


Ketika tumpas mengejutkan 0-2 dalam perlawanan persahabatan dengan Finland minggu lalu, penyerang Chelsea itu hanya melakukan tiga hantaran lebih banyak daripada penjaga gol, Steve Mandanda, yang merupakan satu-satunya tonggak Perancis yang membuat sedikit sentuhan berbandingnya.

Giroud kemudian direhatkan dalam kemenangan 1-0 ke atas Portugal Sabtu lalu tetapi mencetak jaringan berganda dalam kemenangan 4-2 ke atas Sweden, awal pagi tadi, untuk melebarkan rekodnya kepada 44 bersama Les Bleus -- tujuh gol dibezakan dengan rekod penjaring terbanyak kebangsaan milik Thierry Henry.

Pemain berusia 34 tahun itu melengkapkan hantaran Marcus Thuram untuk memadam gol pembukaan Viktor Claesson seawal minit keempat sebelum tandukan menarik ketika menyudahkan voli Benjamin Pavard bagi mengubah wajah permainan.

Robin Quaison cuba menghidupkan sisa perjuangan Sweden untuk menjadikan kedudukan 2-3 pada minit ke-88 tetapi tindakan penjaga gol, Robin Olsen, yang naik ke atas dalam situasi sepakan percuma dalam usaha mencuri satu mata, dihukum Kingsley Coman dalam masa kecederaan dan secara tidak langsung menyingkirkan Sweden dalam saingan utama UNL.




Justeru, Giroud berpendapat segala kritikan pedas yang dilemparkan kepadanya sama sekali tidak menggoyahkan sentuhannya, bahkan menjadikannya lebih tenang untuk menghadapi sebarang kemelut.

"Ketika menentang Finland, kami menanggung kekesalan dan kekecewaan besar termasuk di tahap individu. Kami belajar dari situ dan kami bertindak balas terhadap Portugal dengan menguasai permainan dan sememangnya berhak meraih kemenangan," kata Giroud kepada M6.

"Pertemuan ini sesuatu yang positif selepas perlawanan terakhir yang kami harungi. Walaupun tidak sempurna, ia masih memberi kepuasan kepada kami.

"Tiada istilah balas dendam pada saya. Kerjaya saya sudah diwarnai dengan pelbagai kisah. Ia memberi saya lebih banyak kekuatan. Saya tidak mempunyai masalah mengenai."

Dalam masa sama, Giroud terus diberi amaran oleh pengurus, Didier Deschamps, yang menuntut perubahan dalam minit permainannya di Stamford Bridge jika tidak mahu terlepas rombongan ke Euro 2020 selepas hanya diberi kesempatan sekali dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.