UNL: Ramos tidak serik ambil sepakan penalti

Oleh Shaiful Shamsudin 17 November 2020 405
UNL: Ramos tidak serik ambil sepakan penalti
Sergio Ramos tidak berhasrat untuk menarik diri daripada menggalas peranan sebagai penyepak penalti buat Sepanyol di sebalik gagal menyempurnakan dua peluang itu ketika menentang Switzerland.

Ramos membuat penampilan antarabangsa ke-177 untuk mengatasi legenda Itali, Gianluigi Buffon sebagai pemain Eropah terbanyak beraksi untuk pasukan kebangsaan, tetapi pencapaian itu dicemari dengan kegagalannya memanfaatkan dua sepakan penalti untuk mereka sekadar seri 1-1 dalam Liga Negara-Negara (UNL), Ahad lalu. 

Pertahanan itu telah menjaringkan 25 sepakan penalti berturut-turut bersama La Roja dan Real Madrid sebelum dua kegagalan tersebut.

Ramos, yang tidak muncul dalam sidang akhbar semalam tatkala semakin hangat dikaitkan dengan Paris Saint-Germain (PSG), menegaskan bahawa dia akan terus mengambil sepakan penalti.

"Tentu saja saya akan ambil sepakan penalti jika ada peluang lagi," katanya kepada saluran media Sepanyol.

"Sekiranya saya tidak mendekatinya dengan cara itu, saya akan berhenti menjadi diri sendiri."


 

Sepanyol akan menjadi tuan rumah kepada Jerman di Seville, awal pagi esok, dan memerlukan kemenangan untuk menduduki tangga teratas Kumpulan A4 bagi kemaraan ke pusingan akhir UNL.

Bintang berusia 34 tahun itu bangga dengan rekod penampilannya sambil menolak sebarang perbincangan mengenai persaraan di peringkat antarabangsa.

"Adalah menjadi satu kebanggaan untuk mengungguli penampilan terbanyak pemain legenda seperti Buffon. Pada akhirnya, ketika saya memulakan tugas ini, saya tidak menyangka akan membuat penampilan sebanyak ini," katanya.

"Saya pernah menghabiskan berjam-jam berlari di sini, menyelusuri jalan-jalan di Seville dan ada usaha tinggi untuk meneruskannya iaitu menerusi kegigihan.

"Selagi saya mampu, saya akan meneruskannya. Fikiran saya yang akan menentukannya dan buat masa ini, ia mengizinkan saya."


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen