PORTUGAL 7 ANDORRA 0

Portugal simpan kuku menjelang pertembungan sukar Liga Negara-Negara (UNL) berdepan Perancis hujung minggu ini.


Pengurus juara bertahan Euro itu, Fernando Santos, hanya memberi sedikit gambaran buat Les Bleus apabila hanya memberi kesempatan terhad buat Cristiano Ronaldo, Diogo Jota dan Joao Felix yang dimasukkan sebagai pemain gantian ketika mengalahkan Andorra 7-0 dalam perlawanan persahabatan, awal pagi tadi.

Ronaldo dan Joao Felix turut memahat nama sebagai penjaring sementara Paulinho mencipta sensasi tersendiri dengan meledak gol dalam kemunculan sulungnya di peringkat antarabangsa.

Juara edisi pertama UNL itu bakal menjadi tuan rumah kepada Perancis di Lisbon, awal pagi Ahad ini, yang menyaksikan kedua-dua pasukan telah mengumpul 10 mata dalam Kumpulan 3, Liga A dengan baki dua perlawanan lagi.

Tetapi ketika ditanya mengenai kelibat Ronaldo, Jota, Joao Felix dan Paulinho untuk berdepan Perancis, Santos mengakui pasti ada pemain yang akan tercicir.

"Hanya tiga daripada empat pemain itu akan beraksi," kata pengurus Portugal itu.

"Tetapi saya tidak akan mendedahkan pemain yang mana satu."



Pedro Neto dan Renato Sanches turut dalam senarai penjaring ke atas Andorra selain gol sendiri oleh Emili Garcia hasil daripada penguasaan permainan Portugal.

Lantaran itu, Santos berpuas hati dengan prestasi pasukannya yang melanjutkan rekod tanpa kalah mereka kepada lapan perlawanan.

"Ini adalah satu perlawanan yang menarik dan tepat seperti yang kami harapkan," katanya.

"Jelas sekali Andorra adalah pasukan yang gemar bertahan. Kami perlukan kesabaran untuk membuat hantaran dan mencari ruang. Kami melakukannya dengan baik dalam hal itu.

"Ini adalah perlawanan yang berjaya."