Fernando Santos mengakui Perancis layak menewaskan Portugal dalam perlawanan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) awal pagi tadi selepas skuad juara dunia itu mengecewakan pasukan tuan rumah berkenaan.

Skuad Les Bleus itu menewaskan Portugal 1-0 di Lisbon sebagai melunas dendam kekalahan 0-1 mereka dalam final Euro 2016 kepada pasukan kendalian Santos itu di laman sendiri dan kemenangan itu turut menjamin kemaraan mereka ke pusingan akhir UNL.

Walaupun Anthony Martial memperoleh deretan peluang awal dan menamatkan perlawanan itu dengan lima percubaan, gol tunggal perlawanan penting Kumpulan A3 itu dihasilkan oleh N'Golo Kante.

Cristiano Ronaldo pula kerap melepaskan peluang dengan gagal menemui sasaran sebanyak lima daripada enam percubaannya tetapi Santos berasakan Perancis pasukan yang mempunyai kelebihan.

Kingsley Coman bermula di bahagian depan susulan ketiadaan Kylian Mbappe tetapi Didier Deschamps meletakkan pemain sayap itu lebih ke arah kanan untuk berdepan pertahanan sayap, Raphael Guerreiro.

Guerriero -- penggerak utama serangan Portugal -- mencipta tiga peluang tetapi hanya satu dalam babak pertama, iaitu pada minit keenam permainan.

Pemain serba boleh Borussia Dortmund itu dan Coman, yang digantikan pada minit ke-59, kerap mencabar satu sama lain dan tiada antara mereka dapat melakukan gelecekan selain masing-masing melakukan satu pintasan.

Bagaimanapun, Coman melakukan percubaan berbahaya pada minit ke-10 yang diselamatkan Rui Patricio dan Santos mengakui kehadirannya memberikan masalah buat Portugal.

"Perancis pasukan yang lebih baik dalam babak pertama," kata ketua jurulatih Portugal itu.

"Mereka telah lakukan apa yang kami mahu lakukan.

"Kami mahu mereka tidak memperoleh sebarang ruang, tidak membenarkan mereka bermain. Kami tahu mereka pasukan yang mampu meletakkan pemain di depan gol.

"Kami dapat melakukannya selama 10 minit sebelum kami berdepan kesukaran.

"Kami berundur dan Perancis mengambil peluang itu.

"Meletakkan Coman di kanan mungkin menjadi sebab awal kesukaran kami.

"Ia menghalang Guerreiro melakukan peranan sama.

"Tetapi saya tidak boleh menggunakan satu sisi sahaja, kami sepatutnya menukar arah ke satu sisi lagi dan melakukan hantaran di garisan.

"Kami tidak berjaya, tidak seperti ketika kami melakukannya di Paris (terikat tanpa jaringan).

"Perancis pasukan yang lebih baik. Menuju ke waktu rehat dengan 0-0 tidak adil buat mereka. Kami melakukan permulaan yang baik dalam babak kedua tetapi dibolosi satu gol.

"Selepas itu barulah pasukan itu membuka ruang. Kami memperoleh tiga atau empat percubaan tetapi secara keseluruhan, Perancis lebih layak menang," katanya.