Kylian Mbappe kembali cergas untuk menyarung jersi Perancis menjelang pertembungan Liga Negara-Negara (UNL) dengan Sweden, awal pagi esok, sementara Anthony Martial dalam keraguan akibat kecederaan.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu diketepikan dalam kemenangan tipis 1-0 ke atas Portugal, kelmarin, termasuk kekalahan 0-2 kepada Finland minggu lalu selepas dibelenggu masalah hamstring.

Namun, dia sudah menjalani sesi latihan penuh semalam dan bersedia merebut tempat dalam pertemuan di Stade de France.

"Kylian baik-baik saja -- dia mengambil bahagian dalam sesi latihan semalam," kata pengurus Perancis, Didier Deschamps, dalam sidang akhbar sebelum perlawanan.

"Dia juga akan mengambil bahagian dalam sesi hari ini.

"Saya akan berbincang dengannya untuk melihat apakah dia boleh memulakan perlawanan atau dimasukkan dari bangku simpanan. Ini adalah dua pilihan yang masing-masing ada kelebihan dan kekurangan.

"Saya akan memutuskan apa yang terbaik buat pasukan dan untuknya. Sudah dua minggu dia tidak beraksi jadi dia benar-benar teruja. Dia mahu dia berada di sana esok dan jika semuanya berjalan lancar, dia akan diturunkan."

Namun, Martial mungkin tidak cergas apabila Deschamps mengesahkan penyerang Manchester United itu terpaksa berlatih secara berasingan ekoran masalah belakang.




Pemain berusia 24 tahun itu membarisi kesebelasan utama ketika menentang Portugal dan muncul pemain Perancis yang paling banyak menguji pintu gol lawan biarpun dia gagal mengatasi penjaga gol, Rui Patricio.

Dengan 22 percubaan itu, ketua pasukan Les Bleus, Hugo Lloris, menegaskan rakan sepasukannya tersebut menawarkan banyak sumbangan daripada sekadar jaringan.

"Sekiranya dia bersama kami, ia adalah kerana jurulatih menunjukkan keyakinan kepadanya," katanya.

"Dia telah menyesuaikan diri dengan baik hasil keperibadian dan sikapnya sebagai pemain.

"Pengurus telah memberikan kepercayaan kepadanya. Dia membantu pertahanan, turun membantu Benjamin Pavard di sebelah kanan, jadi itu beerti dia memiliki kerangka pemikiran yang tepat."

Dalam masa sama, Deschamps menuntut penyerang Chelsea, Oliver Giroud, segera mendapatkan minit permainan sekiranya berhasrat untuk terpilih dalam kempen Euro 2021, musim panas depan.