UNL: Mancini yakin Itali ada pertahanan terbaik sekat Lewandowski 

Oleh Shaiful Shamsudin 11 Oktober 2020 156
 UNL: Mancini yakin Itali ada pertahanan terbaik sekat Lewandowski 
Robert Lewandowski merupakan salah seorang penyerang terbaik di dunia dan mana-mana pasukan akan bergelut untuk menangani pemain yang berkualiti, kata pengurus Itali, Roberto Mancini.

Azzurri akan berhadapan dengan Lewandowski dalam pertembungan Kumpulan A1, Liga Negara-Negara Eropah (UNL), awal pagi esok.

Penggempur itu menyumbat 55 gol sepanjang kempen musim lalu untuk menjulang Bayern Munich meraih tiga kejuaraan utama; Bundesliga, DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara (UCL) maka ramai pemerhati berpendapat dia akan mengungguli majlis Ballon d'Or tahun ini sekiranya penghargaan itu tidak dibatalkan kerana pandemik COVID-19.

Dia meneruskan prestasi luar biasanya di peringkat awal kempen ini dengan meledak lima gol dalam tiga perlawanan liga buat jaguh Jerman itu.

Mancini menggariskan sentuhan Lewandowski dalam sidang berita sempena perlawanan itu tetapi menegaskan pasukannya mampu membuatkan pencabar mereka tersebut terdiam di Gdansk.

"Lewandowski adalah salah seorang penyerang tengah terbaik di dunia dan dia telah berada dalam senarai itu sudah beberapa tahun. Sayang sekali kami tidak pernah melihatnya beraksi dalam Serie A," kata bekas bos Inter itu.

"Dia asas untuk Poland walaupun mereka juga mempunyai pemain hebat lain. Adalah adil untuk mengatakan mana-mana pasukan sekalipun akan bergelut untuk menangani pasukan yang memiliki bintang seperti Lewandowski.

"Tetapi Itali selalunya mempunyai beberapa pemain pertahanan terbaik di dunia dan ia tetap berlaku hari ini. Sudah tentu, kami juga mampu meningkatkan prestasi."

 

Ciro Immobile juga merupakan salah seorang penggempur terhangat di Eropah musim lalu apabila muncul sebagai penjaring terbanyak Serie A dengan 36 gol dalam 37 perlawanan.

Penyerang Lazio itu, bagaimanapun, sukar untuk menterjemahkan prestasi domestik ke peringkat antarabangsa apabila sekadar mengumpul tiga jaringan di bawah era Mancini, dua daripadanya ketika mereka membelasah Armenia 9-1.

Mancini sedar adalah lebih sukar untuk mendapat rentak di peringkat antarabangsa sambil mempertahankan pencapaian anak buahnya itu. 

"Mungkin juga kerana kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan yang sangat berbeza," tambahnya.

"Ciro serinng tampil baik ketika mewakili kami. Sekiranya kami memiliki 38 perlawanan berturut-turut, dia akan menjaringkan 25 gol, tetapi adalah lebih sukar apabila anda hanya daoat berkumpul sesekali."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen