Marco Verratti menganggap Roberto Mancini telah mengembalikan "semangat" ke dalam skuad Itali sambil menggesa pasukan itu agar meneruskan "perjalanan yang indah" ketika ini.

Azzurri mencapai tahap terendah pada 2017 apabila tewas dalam play-off kepada Sweden sekali gus terlepas edisi Piala Dunia itu buat pertama kalinya sejak 1956.

Mancini akhirnya mengambil alih tugas mengemudi gergasi Eropah itu dan kemenangan 2-1 ke atas Arab Saudi dalam sentuhan pertamanya dan disusuli hanya menang sekali dalam tujuh aksi berikutnya.

Tetapi, sejak itu Itali berjaya dalam 13 daripada 14 pertemuan termasuk mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam kelayakan Euro 2020 yang ditangguhkan ke tahun depan.

Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG) itu berkata bekas pengurus Manchester City tersebut telah menghidupkan semangat baru di Itali.

"Selepas perlawanan menentang Sweden, terima kasih kepada pengurus kerana telah membangkitkan semula semangat kami," katanya menjelang kempen Liga Negara-Negara Eropah (UNL) berdepan Poland awal pagi Isnin ini.

"Kami bersama-sama menelan kepahitan sebelum ini dan pengurus telah membawa kami kembali ke jalan yang tepat. Dia bijak membina semula pasukan sementara membuatkan kami beraksi dengan baik.

"Kami semakin dekat dengan Perancis. Mereka telah memenangi Piala Dunia tetapi dalam dua tahun terakhir ini kami menjadi pencabar yang lebih berkredibiliti.

"Setakat ini kami telah menempuhi satu perjalanan yang indah. Kami harus terus menempuh jalan ini dengan bersikap merendah diri dan memiliki keberanian."