UNL: Kroos kesal misi jinakkan Switzerland tidak kesampaian di sebalik penampilan ke-100 

Oleh Shaiful Shamsudin 14 Oktober 2020 173
 UNL: Kroos kesal misi jinakkan Switzerland tidak kesampaian di sebalik penampilan ke-100 
JERMAN 3 SWITZERLAND 3 

Toni Kroos membuat penampilan antarabangsa ke-100 bersama Jerman ketika seri 3-3 dengan Switzerland awal pagi tadi, tetapi pemain tengah itu menegaskan dia lebih peduli dengan keputusan perlawanan berbanding jumlah perlawanannya.


Penyudah klinikal Serge Gnabry selepas sejam permainan memastikan Jerman menduduki puncak Kumpulan A4, Liga Negara-Negara (UNL) selepas dipaksa bangkit di Cologne.

Switzerland mendahului 2-0 menerusi Mario Gavranovic dan Remo Freuler, kemudian Timo Werner dengan segera mengurangkan defisit gol sebelum Kai Havertz menyamakan kedudukan.

Gavranovic kembali meletakkan Switzerland di depan menerusi gol kedua peribadinya, tetapi Gnabry sekali lagi mengimbangi kedudukan dengan gol ke-14 peribadinya di peringkat antarabangsa sejak November 2016.

Walaupun perancang Real Madrid itu tampil dengan sumbangan bermakna, kesilapannya menghadiahkan Switzerland jaringan kedua dan walaupun berpuas hati dengan pencapaian penampilan ke-100 berkenaan, pemain berusia 30 tahun tersebut percaya kejayaan meraih gelaran adalah lebih bermakna daripada penghargaan peribadi.

"Sudah tentu ini adalah satu perlawanan yang istimewa bagi saya. Untuk membuat penampilan yang ke-100, ia adalah tanda yang bagus. Tetapi sesiapa yang mengenali saya tahu bahawa saya lebih mementingkan keputusan daripada penampilan," kata Kroos.


 

"Tetapi tentu saja, 100 perlawanan adalah sesuatu yang menarik. Saya pernah beraksi di samping pemain handalan. Saya harap kami dapat membina kejayaan ini dengan pasukan semasa.

"Masalah dihadapi kami adalah 10 atau 15 minit pertama. Selepas itu kami memperagakan permainan yang bagus dan meningkatkan kemahiran sentuhan di penghujung perlawanan terakhir. Kami masih tidak berpuas hati kerana matlamat kami ialah memenangi perlawanan ini."

Kroos antara salah seorang muka lama dalam skuad Jerman yang menyaksikan Joachim Low tegas dengan keputusannya untuk tidak menyenaraikan Mats Hummels dan Thomas Muller yang dalam prestasi sensasi di Bayern Munich.

"Kami bangkit selepas ketinggalan, kami tunjukkan keinginan kami," kata Havertz pula. 

"Kami masih dalam proses membina pasukan, kami sebuah pasukan muda. Kami tidak akan mengubah perjalanan kami dan akan terus berusaha. Kami perlu lebih bijak ketika bertahan tetap kami memulakan perlawanan dengan baik pada hari ini."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen