SEPANYOL 1 SWITZERLAND 0

Pengurus Sepanyol, Luis Enrique, tidak menganggap kejayaan membenam Switzerland bukan sekadar bernasib baik sambil menegaskan kemenangan yang diraih mereka itu berlaku bersandarkan mentaliti La Roja dan bukannya kesilapan pelawat.


Skuad kendalian bekas pengurus Barcelona itu menyaksikan pasukannya merakam kemenangan tipis 1-0 ke atas Switzerland dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Madrid, awal pagi tadi, melalui jaringan tunggal Mikel Oyarzabal pada minit ke-14.

Penyerang Real Sociedad itu membuat satu penyudah kemas selepas hantaran leret Yann Sommer dipatahkan untuk gol Sepanyol tatkala Switzerland lebih gemar bertahan.

Peluang Sepanyol itu terhidang akibat Granit Xhaka tergelincir ketika cuba menerima hantaran Sommer dan Mikel Merino dengan pantas menghidu kedudukan rakan sepasukannya bagi menggegar gawang lawan.

Walaupun kemungkinan besar kemenangan itu disumbangkan oleh kesilapan lawan, Luis Enrique percaya kesilpaan itu didorng oleh tekanan tinggi yang ditonjolkan Sepanyol.



"Ia bukan berpunca daripada kegagalan mereka, sebaliknya ia hasil daripada tekanan tinggi oleh Sepanyol," katanya kepada wartawan.

"Ganjarannya sangat besar, ini adalah kemenangan yang cukup bermakna buat pasukan. Saya ingat hanya satu percubaan dicipta Switzerland sedangkan kami boleh membunuh perlawanan ini dalam beberapa situasi, khususnya percubaan Ferran Torres dalam babak pertama dan beberapa lagi usaha dalam separuh masa kedua tetapi ini bukannya satu kemenangan tidak mudah.

"Tiada satu pun yang tidak saya suka mengenai persembahan ini. Menekan pasukan seperti Switzerland yang menerapkan tiga bek tengah dan dua tonggak tengah adalah sukar.

"Saya juga bangga dengan peringkat akhir perlawanan ini. Kalau sebelum ini kami akan berundur tetapi hari ini kami melakukan sebaliknya, kami terus maju sehingga mereka tidak dapat mencipta peluang."

Kemenangan itu melanjutkan lagi rekod tanpa kalah Sepanyol kepada 15 perlawanan, sementara mereka terus menguasai puncak Kumpulan A4 dengan tujuh mata -- dua mata mengatasi Jerman -- selepas tiga perlawanan.

Sepanyol akan bertandang ke Ukraine awal pagi Rabu ini.