UNL: Jota tidak tertekan ambil tempat Ronaldo belasah Sweden 

Oleh Shaiful Shamsudin 15 Oktober 2020 2073
 UNL: Jota tidak tertekan ambil tempat Ronaldo belasah Sweden 
PORTUGAL 3 SWEDEN 0 

Diogo Jota tidak berdepan tekanan untuk mengisi kekosongan posisi Cristiano Ronaldo ketika membintangi Portugal membelasah Sweden 3-0 dalam Liga Negara-Negara (UNL).
 

Pemain sayap Liverpool itu menyumbangkan dua gol dalam pertembungan Kumpulan A3 di Estadio Jose Alvalade itu selepas terlebih dahulu mencipta lorongan buat jaringan pembukaan Bernardo Silva.

Jota disenaraikan semula oleh Fernando Santos untuk permulaan keduanya bersama Portugal berikutan ketiadaan Ronaldo yang disahkan positif COVID-19, kelmarin.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang berpindah ke Liverpool daripada Wolves bulan lalu, menggambarkan hari itu sebagai hari terbaiknya sebagai pemain bola sepak.

"Ia adalah malam yang sangat menarik dan salah satu daripada persembahan terbaik saya untuk negara," katanya. 

"Kami mencipta satu keputusan hebat ketika berdepan sebuah pasukan yang bukan mudah untuk ditandingi, jadi kami boleh bangga.

"Pengurus akan memilih kesebelasannya untuk setiap perlawanan. Saya hanya perlu melakukan yang terbaik di atas padang.

 


"Tiada tekanan untuk menggantikan Ronaldo. Kami adalah profesional dan jika pengurus telah membuat pilihan, selebihnya pemain yang harus bekerja keras."

"Saya rasa ini adalah detik terbaik saya. Bergabung dengan Liverpool adalah satu langkah besar dalam karier saya dan hari ini, saya sekali lagi memulakan perlawanan di samping pasukan kebangsaan, saya harus terus melakukan yang terbaik."

Juara Euro 2016 itu mencatat tiga kemenangan dan seri sekali dalam empat perlawanan pembukaan Kumpulan A3 untuk mendahului Perancis -- yang membenam Croatia 2-1 di Zagreb -- menerusi perbezaan gol.

Selepas rentetan tanpa penyudah ketika bertemu Sepanyol dan Perancis, Santos berpuas hati dengan prestasi pasukannya ketika menentang Sweden.

"Saya rasa kami mengawal perlawanan ini walaupun saya rasa Sweden mampu menjaringkan gol. Itu bukan satu persembahan yang jitu tetapi tetap bagus.

"Kami mempamerkan aksi memukau dalam 20 minit pertama tatkala kami menguasai permainan dengan cukup baik. Kami juga berdepan kesukaran dengan bola sepak Sweden yang gemar menggunakan hantaran jauh, agresif dan meletakkan empat pemain di bahagian serangan."

Pengurus Sweden, Janne Andersson, tidak akan duduk di bangku simpanan ketika bertemu Croatia bulan depan gara-gara dihukum kerana membantah keputusan pengadil.  

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen