UKRAINE 1 JERMAN 2

Pengurus Jerman, Joachim Low, tidak sepenuhnya berpuas hati dengan kemenangan 2-1 anak buahnya ke atas Ukraine sekali gus mencatat kemenangan pertama dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah (UNL).


Buat pertama kalinya selepas tujuh percubaan, Jerman meraikan kejayaan dalam kempen UNL hasil jaringan sumbangan Matthias Ginter dan Leon Goretzka di Kiev, awal pagi tadi.

Jerman mendahului 2-0 selepas 49 minit permainan sebelum sepakan penalti daripada Ruslan Malinovskiy pada minit ke-76 memberi harapan kepada Ukraine, tetapi pelawat kental bertahan.

Selepas hanya menang sekali dalam tiga perlawanan tahun ini, Low berkata kepada wartawan: "Saya gembira kerana kami akhirnya memenangi perlawanan.

"Sebelum kami dibolosi, kami mungkin boleh mendahului 3-0 atau 4-0. Sepakan penalti itu tidak sepatutnya diberikan. Dan kami memberikan mereka sedikit peluang dalam permainan terbuka.

"Namun, sekali-sekala kami membuat hantaran jauh. Pemain saya kepenatan selepas mendahului 2-0. Kami beraksi dengan stabil pada malam ini.

"Apabila kami mengetengahkan tiga pertahanan maka kami memerlukan pemain aktif yang mampu merantai pergerakan lawan dan bermain dengan hantaran ke depan. Kami menggunakan terlalu banyak hantaran jauh dalam babak pertama.

"Saya tidak akan membuat banyak perubahan dalam kesebelasan pasukan yang akan berdepan Switzerland jika tidak perlu melakukan rombakan."



Ginter memecahkan kebuntuan pada minit ke-20 selepas menyambut hantaran silang daripada Antonio Rudiger sementara Goretzka menjadikannya 2-0 empat minit memasuki babak kedua dengan memanfaatkan kesilapan Georgi Bushchan.

Pertahanan Jerman, Niklas Sule, menghadiahkan sepakan penalti ketika menuju baki 14 minit perlawanan dan jaringan Malinovskiy itu merangsang Ukraine untuk melancarkan serangan.

Keputusan itu memusnahkan rekod tujuh kemenangan berturut-turut barisan bimbingan Andriy Shevchenko tersebut di laman sendiri.

Ginter menambah: "Kami gembira beroleh kemenangan. Itu penting untuk perjalanan yang kami sedang lalui. Kami tidak berada di tahap terbaik pada malam ini dan agak kepenatan di penghujung perlawanan, Saya akan terus bercita-cita tinggi pada setiap hari dan memberikan yang terbaik. Saya gembira kerana kerja keras ini membuahkan hasilnya malam ini.

"Kami terlalu kerap kehilangan bola dalam babak pertama dan melakukan terlalu banyak kesilapan. Kami sedar Ukraine akan menggandakan asakan selepas rehat jadi kami ingin elak perkara ini daripada berlaku. Anda jarang melihat banyak kesilapan mudah dalam perlawanan pasukan kebangsaan."