ITALI 2 POLAND 0

Andrea Belotti mendedikasikan kemenangan 2-0 Itali ke atas Poland kepada Roberto Mancini tatkala pengurus Azzurri itu masih menjalani dikuarantin selepas diuji positif COVID-19.


Sepakan penalti Jorginho dan jaringan lewat Domenico Berardi memastikan kemenangan selesa buat Itali di Stadium Mapei, awal pagi tadi, untuk melonjak mereka ke puncak Kumpulan A1, Liga Negara-Negara (UNL) dengan baki satu perlawanan.

Satu lagi kemenangan menentang Bosnia-Herzegovina pada Khamis ini akan menjamin Itali menempah tempat ke pusingan akhir kejohanan itu tahun depan, sementara satu mata lagi sudah memadai sekiranya Poland berhasil mengikat Belanda.

Mancini masih mengasingkan diri di kediamannya di Rom lalu penyerang Torino, Belotti -- yang memenangi sepakan penalti untuk Jorginho membuka tirai jaringan selain menerima dua terjahan yang mendorong Jacek Goralski dilayangkan kad merah -- memuji semangat skuad Itali.

"Kami bagaikan sebuah keluarga, jadi peluang kembali ke sini seperti seorang ayah memeluk anaknya," katanya kepada RAI Sport.

"Begitulah perasaan kami ketika bertugas di peringkat antarabangsa, kami perlu saling mengambil berat untuk mengetahui apa yang sedang kami lakukan.

"Kami mendedikasikan kemenangan ini kepada pengurus dan juga untuk semua orang yang perlu dikuarantin pada masa ini.

"Kami mendapat pesanan daripada sebelum sepak mula, kami tahu betapa sedihnya dia tidak dapat berada di sini, jadi kemenangan ini ditujukan kepadanya."



Itali mendominasi permainan dengan melancarkan 19 percubaan ke gawang Poland sementara pelawat sama sekali gagal menguji Gianluigi Donnarumma.

Sepakan penalti yang disempurnakan Jorginho itu, untuk pertama kalinya sejak Opta memperkenalkan data tersebut pada 2008, menyaksikan Itali tiga kali berturut-turut menyempurnakan peluang berkenaan, manakala jaringan Berardi pula terhasil menerusi 30 hantaran -- catatan tertinggi UNL untuk gerakan gol.

Bintang utama Poland, Robert Lewandowski, pasti sangat kecewa apabila hanya mampu melakukan dua sentuhan di dalam kotak penalti lawan dengan satu-satu usaha jitunya adalah menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-88.

Pembantu Mancini, Alberico Evani, berkata kepada RAI Sport: "Ini adalah budaya kami, orang Itali memberikan yang terbaik pada saat-saat sukar dan menjadi lebih bersatu.

"Ini yang saya tanya kepada pemain-pemain sebelum perlawanan ini dan mereka amat luar biasa, kami berpegang kepada prinsip bola sepak menyerang dan Roberto telah menerapkannya selama dua tahun.

"Apabila anda terus bertahan dalam jangka masa panjang, anda pasti akan mendapat ganjaran.

"Saya sempat berbincang dengannya (Mancini) dalam separuh masa pertama, dia berkata kami berhak mendapat beberapa gol lagi jadi kami perlu tajamkan penyudah tetapi prestasi kami secara keseluruhannya memuaskan."