CROATIA 1 PERANCIS 2

Antoine Griezmann menjelaskan Didier Deschamps tahu dengan tepat posisi kegemarannya selepas penyerang Barcelona itu memainkan peranan penting dalam kemenangan sukar Perancis ke atas Croatia.


Griezmann meledak gol hebat pada minit kelapan, jaringan ketiganya pada tahun ini ketika Les Bleus menang 2-1 di Zagreb, awal pagi tadi.

Bekas pemain Atletico Madrid itu ditempatkan di posisi tengah untuk bergandingannya dengan Anthony Martial dan Kylian Mbappe -- yang menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan selepas penyudah Nikola Vlasic mengimbangi perlawanan.

Walaupun dia menonjolkan prestasi yang mengagumkan bersama Perancis, penggempur itu masih belum memenangi tempat di bawah kendali pengurus baru Barca, Ronald Koeman. Beroperasi di sayap kanan, pemain berusia 29 tahun tersebut gagal melakar sebarang gol mahupun mencipta peluang dalam tiga penampilan LaLiga pada 2020-21.

Namun, dia mengetepikan segala masalah di peringkat kelab demi membantu negaranya memimpin Kumpulan A3, Liga Negara-Negara (UNL), awal pagi tadi.




"Pengurus tahu di mana hendak meletakkan saya," katanya mengenai Deschamps dalam temu bual dengan TF1.

"Saya memanfaatkan situasi ini, di tempat ini, keyakinan jurulatih dan rakan sepasukan saya.

"Ini adalah satu perlawanan yang rumit, tidak terlalu menarik untuk disaksikan dan tidak terlalu cantik untuk diperagakan di atas gelanggang yang sukar ini. Kami sedar bagaimana untuk menderita, yang paling penting adalah menang dan membuktikan keampuhan kami."

Kemenangan Perancis meletakkan mereka setara dengan pendahulu, Portugal, selepas kedua-dua negara itu berakhir seri 0-0, Isnin lalu.

"Ia sukar bagi semua orang. Kami tahu kami akan bergelut," kata Deschamps kepada TF1.

"Kami melakukan perkara yang tepat dalam babak kedua. Pasukan ini selalunya mempamerkan karakter. Hanya kerana anda memenangi gelaran dunia pada 2018 tidak bermaksud anda menang sekejap sahaja.

"Kami tidak berjaya menjaringkan gol ketika menentang Portugal adalah kerana lawannya bagus. Kami telah menampilkan aksi hebat pada hari ini sekalipun kami membuat permulaan mantap untuk perlawanan."