UNL: De Boer mula nampak hasil permainan pantas Belanda

Oleh Shaiful Shamsudin 16 November 2020 272
 UNL: De Boer mula nampak hasil permainan pantas Belanda
BELANDA 3 BOSNIA-HERZEGOVINA 1 

Frank de Boer lega dapat mengakhiri penantiannya untuk meraikan kemenangan pertama sebagai pengurus Belanda dalam kemenangan 3-1 ke atas Bosnia-Herzegovina menerusi kempen Liga Negara-Negara (UNL).


Sejak menggantikan Ronald Koeman di pucuk pimpinan, De Boer menempuhi empat perlawanan tanpa kemenangan sebelum kejayaan di Amsterdam, awal pagi tadi. 

Georginio Wijnaldum muncul pemain pertama sejak Tonny van der Linden menyumbat dua gol dalam tempoh 13 minit pertama pada 1961 buat skuad Oranje sebelum Memphis Depay menjadikannya 3-0 tetapi Smail Prevljak memastikan mereka gagal mengelak daripada dibolosi.

De Boer berasa senang hati berhasil mengakhiri penantian yang menyaksikan anak buahnya ketinggalan satu mata di belakang Itali dalam Kumpulan A1 dengan baki satu perlawanan lagi. 

"Sudah tentu anda menantikan kemenangan pertama ini," katanya.

"Tetapi kami mempunyai dua kepentingan hari ini. Tetap berjuang untuk ke pusingan akhir UNL dan juga mahu mengharungi kelayakan Piala Dunia dalam balang satu. Balang dua juga dibarisi negara-negara yang mantap dan ketika ini kami pasti ingin elak daripada bertembung dengan negara-negara yang sangat ampuh."

Jaringan Wijnaldum meletakkan Belanda di laluan sebenar sebelum Depay meledak gol antarabangsa pertamanya dalam 538 minit permainan selepas membuat 21 percubaan.

 

De Boer mendedahkan pasukannya mula memberikan fokus untuk membuat permulaan yang garang, lantas dia gembira pendekatan itu membuahkan hasil.

"Sebagai kakitangan, kami menekankan bahawa pemain harus memberikan tekanan tinggi dalam tempoh 20-25 minit awal permainan dan membuat perbezaan," katanya.

"Ia boleh dilakukan dengan mengekalkan tempo tinggi. Kami telah menghasilkan satu tugas yang luar biasa."

Walaupun gembira dengan rentak awal permainan, pemain tengah Liverpool, Wijnaldum, kesal Belanda masih belum cukup berbisa. 

"Kami sudah bersedia untuk mengecapi kemenangan," katanya kepada NOS.

"Kami bermula dengan baik dalam separuh masa pertama tetapi sedikit merosot pada penghujung perlawanan. Mungkin kerana kami terlalu kerap mengasak sekali gus menjadikan kami lebih terdedah. Kami juga agak goyah di penghujung babak kedua."

Belanda akan mengakhiri kempen Kumpulan A1 dengan berkunjung ke Poland Khamis ini. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen