Roberto Martinez menyifatkan Eden Hazard yang diuji positif COVID-19 sebagai perkembangan yang "mengecewakan" untuk pengurus Belgium itu meratapi ketiadaan bintang Real Madrid berkenaan.

Hazard bakal terlepas perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Switzerland awal pagi esok termasuk kempen Liga Negara-Negara (UNL) dengan England, empat hari kemudian berikutan kekangan pandemik itu.

Penyerang berusia 29 tahun itu diuji positif sebelum Madrid rebah 1-4 di tangan Valencia dalam aksi LaLiga, Ahad lalu.

Hazard hanya tampil 25 kali sejak dilamar daripada Chelsea dengan harga €100 juta (RM487.3j), Jun tahun lalu selain sekadar menyumbangkan dua gol dan mencipta empat bantuan jaringan.

Dalam kempen terakhirnya di Stamford Bridge, dia meledak 16 gol dan menghasilkan 15 bantuan jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Terganggu oleh masalah kecederaan dan kecergasan di ibu negara Sepanyol itu, pengurus Belgium tersebut meratapi masalah terbaru yang dihadapi pemain lincah berkenaan.

"Kami semua gembira melihat Eden Hazard dapat beraksi dalam tiga perlawanan terakhir bersama kelabnya selain mula kelihatan gembira dan bergerak bebas termasuk mencetak jaringan," kata Martinez kepada wartawan.


Aaaah. Traditions... ?

A post shared by Belgian Red Devils (@belgianreddevils) on



"Saya rasa kita semua tidak sabar-sabar lagi untuk melihat Eden beraksi di samping pasukan kebangsaan. Saya rasa ia juga berita baik buat kelabnya kerana dia akan diberi kesempatan dan mendapatkan rentak permainan yang boleh membantu mengembalikan kecergasannya.

"Ujian positif COVID-19 adalah berita yang mengecewakan tetapi ia bukan sesuatu yang normal dalam kehidupan kita ketika ini. Saya rasa berita positif COVID-19 bukanlah satu tumpuan berita lagi.

"Pada masa ini, kami hanya perlu mematuhi protokol Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan memastikan bahawa Eden terus berlatih di rumah agar kecergasannya tidak terjejas sambil berharap dia boleh bergabung dengan pasukan kebangsaan seberapa segera jika itu boleh menjadi realiti.

Dia tidak menunjukan gejala dan dia bersemangat, itulah perkara paling mustahak."