Eden Hazard akan menempuhi musim 2021 yang hebat di sebalik terlepas perlawanan terakhir Belgium tahun ini akibat COVID-19, menurut Roberto Martinez.

Sejak melengkapkan perpindahan €100 juta (RM486.6j) ke Real Madrid Jun 2019, Hazard kemudian berulang kali dilanda masalah kecederaan apabila hanya terhad kepada 25 penampilan sahaja.

Dia sekadar menyumbang dua gol dan mencipta empat bantuan jaringan buat Los Blancos di sebalik reputasi dalam kempen terakhirnya di Chelsea yang menyaksikannya dia mencatat 16 gol dan 15 bantuan jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kecederaan otot menangguhkan penampilan pertamanya musim ini hingga 27 Oktober lalu sebelum dia terlepas tiga perlawanan kerana didapati dijangkiti pandemik itu.

Hazard sekali lagi diuji positif pada hujung minggu lalu yang menyebabkannya terlepas pertembungan Kumpulan A2, Liga Negara-Negara (UNL) di Denmark, awal pagi esok.

Bagaimanapun, Martinez yakin pemain berusia 29 tahun itu akan kembali ke tahap terbaiknya dan memainkan peranan penting buat Madrid dan Belgium.

"Eden benar-benar mahu menyertai kami dan terbabit dalam tiga perlawanan terakhir pada tahun ini," kata Martinez.

"Dia mengharungi tahun yang sangat rumit. Saya yakin 2021 akan menjadi tahun yang luar biasa bagi Eden Hazard dan juga pasukan kebangsaan."

Penjaga gol, Thibaut Courtois, menambahkan: "Sayang sekali dia ketinggalan dalam kejohanan ini tetapi kami masih mempunyai kualiti yang cukup untuk menang tanpanya.

"Kumpulan ini lebih berpengalaman luas, kami tahu apa yang harus diperbaiki. Kami memiliki salah sebuah pasukan terbaik di dunia."




Martinez juga kehilangan Axel Witsel dan Thomas Meunier untuk pertemuan di Heverlee akibat penggantungan, di mana satu mata sudah memadai untuk Belgium mara ke pusingan akhir UNL.

"Kami tidak akan memberi fokus kepada pemain tidak ada. Saya sedang mempertimbangkan pemain yang boleh menonjol untuk merebut peluang," kata Martinez.

"Saya mempunyai banyak cara untuk mengimbangi ketiadaan Wistel dan Meunier. Antaranya Thomas Foket, Thorgan Hazard dan Nacer Chadli.

"Denmark merupakan pasukan yang sangat mantap tetapi kami mahu ke pusingan kahir jadi kami akan mengerahkan segala kudrat untuk kemenangan. Kami tidak mahu keputusan seri. Kami harus menang demi peminat dan mengakhiri tahun ini dengan baik."

Belgium terlepas ke peringkat separuh akhir UNL pada tahun lalu gara-gara tewas 2-5 kepada Switzerland dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Courtois menegaskan bahawa mereka telah belajar daripada kesilapan itu dan sedar mereka tidak boleh memandang rendah keupayaan tuan rumah.

"Kami tahu kekuatan dan kelemahan mereka. Sekiranya mereka menang, mereka berkualiti. Kami harus menunjukkan keamatan dari minit pertama hingga terakhir, berwaspada dan fokus. Kami tidak akan memenangi perlawanan ini dengan 4-0," kata Courtois.

"Kami agak santai ketika menentang Switzerland (tahun lalu). Kami belajar daripada perlawanan itu. Kami sudah bersedia untuk perlawanan malam esok."