Frank de Boer memutuskan untuk mengubah sistem permainan Belanda ketika diikat Itali 1-1 dalam Liga Negara-Negara (UNL) awal pagi tadi selepas dalam satu latihan mendapati mereka kelihatan seperti "hyena muda".

Itali memenangi pertemuan pertama Kumpulan A1 di Amsterdam pada bulan lalu apabila pengendali, Dwight Lodeweges, memilih untuk menerapkan formasi 4-2-3-1.

Selepas memulakan tugasannya bersama skuad Oranje itu dengan kekalahan mengejutkan 0-1 kepada Mexico dan seri tanpa gol dengan Bosnia-Herzegovina, De Boer beralih kepada pendekatan 5-3-2 untuk pertemuan di Bergamo itu dalam usaha untuk membatasi jentera serangan Azzuri.

Gawang pelawat dirobek Lorenzo Pellegrini pada minit ke-16 tetapi Donny van de Beek membuka akaun jaringan antarabangsa untuk menyamakan kedudukan dengan segera.

Walaupun Belanda gagal meraih kemenangan, De Boer sedar pasukannya sudah bersedia dengan pendekatan baru selepas permulaan yang kurang memberangsangkan.

"Saya mahu menerapkan lima pertahanan agar pemain di barisan depan tidak perlu terus menghambat pemain lawan," jelasnya kepada NOS.



"Secara dasarnya, kami mengenal pasti keupayaan lawan secara rasional dan kami perlu tahu apa yang mampu dilakukan untuk mengatasi mereka. Dalam hal ini, saya perlu mengorbankan pemain seperti Steven Berghuis.

"Saya fikir kami memperagakan permainan lebih baik, katakan 60 hingga 40 peratus penguasaan perlawanan memihak kepada kami dan ia didorong oleh kualiti kami sendiri.

"Pengkritik akan menjadi keras jika Belanda kalah, tetapi dalam sesi latihan saya nampak anak buah saya mengejar mangsanya seperti hyena muda. Saya memberitahu mereka: 'Sekiranya anda menunjukkan ini dalam perlawanan, pendekatan ini tidak seharusnya menjadi masalah. '

"Tetapi saya tidak berpuas hati dengan keputusannya memandangkan kami mengintai kedudukan teratas kumpulan. Kini kami perlu pastikan bahawa kami memenangi dua perlawanan terakhir."

Sungguhpun membuat 14 percubaan tepat, kegagalan meraih mata penuh menyaksikan Poland merampas pendahuluan Kumpulan A susulan membelasah Bosnia-Herzegovina 3-0, dipisahkan satu mata dengan Itali sementara Belanda pula dengan dua mata.