United perlu "pecah tabung" untuk dapatkan Mbappe -- Saha

Oleh Staff Writer 25 Oktober 2019 7794
United perlu
Louis Saha berpandangan Manchester United perlu "pecah tabung" untuk mendapatkan Kylian Mbappe walaupun bekas penyerang The Red Devils itu mengakui bintang muda Paris Saint-Germain (PSG) berkenaan mungkin sudah di luar jangkauan kelab itu.

United membenarkan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez menyertai Inter -- masing-masing secara tetap dan pinjaman -- ketika  jendela perpindahan lalu, yang menyaksikan Marcus Rashford dan Anthony Martial bertindak selaku penyerang senior skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu.

Rashford kini gagal menampilkan aksi yang konsisten, menjaringkan empat gol daripada sembilan penampilan, manakala Martial terlepas hampir kesemua saingan musim ini ekoran kecederaan, sementara pemain muda, Mason Greenwood, turut dipanggil mengetuai jentera serangan United.

Walaupun Martial sudah kembali cergas, ia belum menyelesaikan masalah jentera serangan United, dengan bekas kapten kelab, Roy Keane, memberi cadangan Harry Kane harus dilihat sebagai sasaran utama.

Saha berkata bintang PSG dan Perancis, Mbappe, merupakan pemain yang diperlukan United tetapi menyedari mereka mungkin sudah terlepas peluang itu.

"Jika anda bertanya saya, saya sanggup memecah tabung untuk membeli Mbappe tetapi kini sudah terlambat," kata Saha kepada Compare.Bet. 

"Tetapi, apabila anda melihat pemain penyerang, ia semakin pupus. Robert Lewandowski adalah contoh pemain yang semakin sukar untuk ditemui dan saya tidak melihat ramai pemain yang mampu mengisi slot nombor sembilan itu.

"Saya turut melihat beberapa penyerang seperti Duvan Zapata dari Atalanta, dia merupakan seorang pemain yang mantap, memiliki kekuatan fizikal yang tinggi.

"United memerlukan pemain yang mampu mengawal bola dan memberi masa kepada pemain-pemain seperti Paul Pogba dan Scott McTominay untuk menghasilkan sesuatu di bahagian tengah."

Saha turut percaya corak permainan yang diketengahkan Solskjaer "terlalu cantik" untuk kebaikan United.

"Anda meminta terlalu banyak daripada pemain-pemain muda kerana kerap melakukan corak permainan hantaran pendek, ia kelihatan cantik tetapi tidak berkesan," tambah Saha.

"United perlu lebih mengawal bola tetapi ia sukar, terutama buat pemain-pemain muda yang masih tidak beryakinan untuk melakukan sedemikian.

"Anda memerlukan beberapa pemain  berpengalaman untuk menjadi contoh kepada pasukan, melakukan kerja-kerja kotor di atas padang, merampas bola dan membantu untuk meningkatkan semangat penyokong. Saya berasakan itu yang diperlukan United."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen