CSKA MOSCOW 1 MANCHESTER UNITED 4

Skuad kendalian Jose Mourinho meneruskan rentak cemerlang musim ini selepas menewaskan CSKA Moscow 4-1 dalam aksi Kumpulan A, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di VEB Arena, awal pagi tadi.


Selepas menumbangkan cabaran wakil Switzerland, Basel, dalam perlawanan pembukaan, ternyata skuad The Red Devils serius untuk mencabar kejuaraan UCL musim 2017/18 apabila membuka tirai jaringan ketika permainan baru berusia empat minit.

Anthony Martial, yang bijak membuka ruang dari sebelah kiri, melakukan hantaran silang untuk Romelu Lukaku menanduk masuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Igor Akinfeev, sekaligus mengutip jaringan kesembilan daripada sembilan perlawanan buat United.

Alan Dzagoev hampir menyamakan kedudukan buat CSKA dua minit kemudian, namun rembatan leretnya dari jarak 15 meter sempat ditampan keluar oleh David De Gea.

Sebaliknya, United terus menambah gol kedua hasil sepakan penalti selepas Henrikh Mkhitaryan dijatuhkan oleh Georgi Shchennikov, sebelum Martial menyudahkan sepakan tersebut untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-19.

Lapan minit kemudian, kelincahan Martial jelas gagal dikawal benteng tuan rumah apabila hantarannya dari sebelah kiri sekali lagi berjaya menemui Lukaku yang mudah menolak bola masuk gol ketiga buat United dan kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Lukaku nyaris melengkapkan hatrik ketika separuh masa kedua memasuki minit ketiga apabila lorongan Martial membolehkan penyerang Belgium itu melepaskan rembatan voli dari jarak dekat, namun dinafikan oleh Akinfeev.

Anak-anak buah Mourinho terus mempamerkan taring dengan gol keempat pada minit ke-57 selepas kesilapan Vasili Berezutski yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya membolehkan Martial melepaskan rembatan ke arah gol tuan rumah

Percubaan tersebut berjaya ditampan Akinfeev tetapi tindakan susulan daripada Mkhitaryan berjaya menjadikan kedudukan 4-0.

Kekebalan De Gea mengawal gawang United akhirnya berjaya dibolosi pada minit terakhir perlawanan selepas CSKA meraih gol sagu hati menerusi pemain gantian, Konstantin Kuchaev, namun segala-galanya sudah terlewat dan kedudukan 4-1 kekal sehingga ke wisel penamat.

Kemenangan itu menyaksikan United terus gah di tangga teratas kumpulan dengan mata maksimum daripada dua perlawanan, diekori Basel di tangga kedua dengan tiga mata.