United di ambang kemaraan ke pusingan 16

Oleh Penulis Jemputan 1 November 2017 1075
 United di ambang kemaraan ke pusingan 16
MANCHESTER UNITED 2 BENFICA 0

Manchester United hampir pasti untuk mengesahkan tempatnya dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Benfica di Old Trafford, awal pagi tadi.


Jaringan sendiri daripada penjaga gol muda, Mile Svilar, pada penghujung separuh masa pertama dan gol sepakan penalti Daley Blind selepas rehat membawa skuad Jose Mourinho kepada kemenangan keempat dalam Kumpulan A.

Svilar menghadiahkan kemenangan untuk United di Lisbon dua minggu lalu apabila berada melebihi garisan gol ketika menangkap bola sepakan percuma Marcus Rashford tetapi kini dia dilihat lebih bersedia untuk memperbaiki aksinya selepas menyelamatkan penalti Anthony Martial pada minit ke-15.

Pasukan tuan rumah, yang memberi peluang kepada Scott McTominay untuk memulakan perlawanan dengan pemain seperti Antonio Valencia, Ashley Young, Phil Jones dan Rashford direhatkan, memperagakan aksi tidak meyakinkan menentang skuad tanpa mata daripada empat perlawanan itu.

Tetapi mereka berjaya memecah kebuntuan apabila percubaan Nemanja Matic yang terkena tiang tertampan badan Svilar untuk masuk ke dalam gol, sebelum Benfica memberi tekanan pada separuh masa kedua di mana percubaan Raul Jimenez terkena tiang berikutan kesilapan daripada Eric Bailly.

Selepas itu, Svilar menyelamatkan sentuhan Romelu Lukaku, bagaimanapun, Blind menyudahkan sepakan penalti untuk membawa United berkelebihan enam mata ke atas Basel dan CSKA Moscow di tempat teratas kumpulan dengan perlawanan berbaki dua minit.

Lukaku kelihatan bersedia untuk mengambil penalti sebelum tanggungjawab itu diserahkan kepada Blind.

Dalam perlawanan itu, Svilar menjadi tumpuan, terutama ketika melayangkan badan dalam usahanya menyelamatkan penalti Martial pada minit ke-15.

Benfica sebenarnya memulakan perlawanan dengan baik dan David de Gea dipaksa bekerja keras, terutama ketika mengeluarkan rembatan Diogo Goncalves.

United dilihat lebih tenang pada separuh masa kedua selepas menemui gol pertama dan De Gea sekali lagi menafikan percubaan Goncalves ketika Benfica diberi peluang menikmati penguasaan.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen