Penaja utama saingan Liga Malaysia (Liga M), TM Unifi, akan membuat satu kenyataan rasmi berhubung status mereka sebagai penaja utama liga dalam tempoh terdekat selepas desas-desus menyatakan syarikat itu akan menarik diri musim depan.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengurus Besar Pemasaran Sukan Unifi, Siti Farah Diba Abd Ghani.

Siti Farah menjelaskan pihaknya belum dapat memberi sebarang pengesahan mengenai desas-desus Unifi mahu menarik diri, sebaliknya memberi jaminan satu kenyataan rasmi akan diumumkan kelak.

Untuk rekod, Unifi merupakan penyumbang terbesar dengan tajaan RM480 juta selama lapan tahun.

"Kami masih belum memiliki jawapan rasmi buat masa ini," katanya.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pula menerusi satu kenyataan di laman sosial rasmi mereka semalam menjelaskan mereka sentiasa mempunyai hubungan yang baik dan menyokong apa jua keputusan oleh TM.

Malah, mereka sedia memberi masa dan peluang kepada pengurusan baru TM untuk tindakan selanjutnya.