Umititi kembali, Dembele tersenarai dalam skuad Barca

Oleh Penulis Jemputan 5 November 2019 125
Umititi kembali, Dembele tersenarai dalam skuad Barca
Samuel Umtiti berpeluang melakukan penampilan keduanya musim ini selepas pemain pertahanan itu disenaraikan dalam skuad Barcelona menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Sparta Prague di Camp Nou awal pagi esok.

Pemain kebangsaan Perancis itu menerima pelepasan daripada pihak perubatan untuk menyertai perlawanan Kumpulan F itu selepas mula berlatih sejak beberapa hari lalu.

Umtiti mengalami kecederaan lutut yang memaksanya untuk tidak terlibat dalam tiga perlawanan terakhir Barca.

Pertahanan tengah itu turut diketepikan pada awal musim ini kerana kecederaan kaki yang dialaminya ketika menewaskan Eibar 3-0 di gelanggang lawan 19 September lalu.

Sementara itu, Ousmane Dembele turut berada dalam senarai 18 pemain berkenaan.

Penyerang itu tidak diturunkan ketika pasukannya tewas 1-3 kepada Levante dalam LaLiga hujung minggu lalu walaupun sudah selesai menjalani penggantungan dua perlawanan.

Ditanya mengenai ketiadaan Dembele dalam perlawanan itu, pengurus, Ernesto Valverde, berkata dalam sidang media: "Setiap pemain perlu merebut tempat dalam pasukan Barca."

Untuk rekod, juara Sepanyol itu berada di kedudukan teratas Kumpulan F, yang turut disaingi Borussia Dortmund dan Inter Milan.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen