"Masa beraksi di atas padang lebih penting buat saya," kata pemain tengah skuad B-18 negara, Umar Hakeem Suhar Redzuan, yang menerima lamaran daripada kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Tawaran itu diterima melalui ibu bapanya yang berkunjung ke Johor minggu lalu ketika dia berada di Bandaraya Ho Chi Minh bagi menghadapi Kejohanan AFF B-18 tahun.

JDT merupakan antara pasukan yang diimpikannya untuk beraksi, namun Umar mahu mendapatkan pandangan jurulatihnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

"Keputusan belum dibuat dan cuba menunggu tawaran daripada kelab lain. JDT memiliki barisan pemain yang berkualiti dan saya amat memerlukan waktu beraksi dan ia adalah keutamaan saya," kata Umar.

Sementara itu, penjaga gol skuad B-18 tahun negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, yang mempamerkan aksi cemerlang di Vietnam, turut menerima tawaran rasmi daripada pasukan Selangor.

Baginya, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 menjadi keutamaannya ketika ini sebelum menerima sebarang tawaran.

"Saya akan mendapatkan nasihat daripada ibu bapa dan jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari terlebih dahulu mengenai tawaran yang telah diterima," katanya.