UKRC 2017: Kwarta tarik diri

Oleh Penulis Jemputan 23 Oktober 2017 134
UKRC 2017: Kwarta tarik diri
Kejohanan bola sepak antarabangsa sembilan sepasukan (UKRC) 2017 bakal menyaksikan juara baru selepas penyandang gelaran selama tiga tahun berturut-turut, Kwarta dari Indonesia, menarik diri akibat masalah penajaan.

Memasuki edisi ke-15, kejohanan itu merupakan pentas buat pemain veteran, khususnya bekas pemain kebangsaan, untuk menguji kemampuan.

Seperti tahun sebelumnya, lapan pasukan akan mengambil bahagian, dengan tumpuan utama sudah pasti kepada kelab Thailand, Zeenior FC, sambil menyaksikan dua pasukan dari Sabah, Sabah Old Boys dan Penampang Unity, turut mengesahkan penyertaan.

Presiden UKRC yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur, Andrew Gopal, menganggap ketiadaan Kwarta untuk mempertahankan gelaran tidak menjejaskan kemeriahan edisi kali ini.

“Saya dimaklumkan kemungkinan pasukan juara bertahan, Kwarta, tidak dapat menyertai tahun ini kerana masalah kewangan selepas penaja utama menarik diri,” kata Andrew.

Saingan kali ini turut mengekalkan format yang sama, iaitu lapan pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan, dengan dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir.

Ada sedikit perubahan mengenai pendaftaran pemain apabila setiap pasukan hanya dibenarkan mendaftar tiga bekas pemain kebangsaan.

“Kami tidak mahu bekas pemain kebangsaan mengaburi kehebatan pemain-pemain lain kerana pertandingan ini lebih kepada aspek persahabatan,” katanya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen