Jurulatih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC, Sulaiman Hussin, mendedahkan pasukan UiTM FC menjadi motivasi utama di sebalik kejayaan mereka melangkah naik ke saingan Liga Perdana musim depan.

Tiada siapa menjangka skuad institusi pengajian tinggi (IPT) ini berjaya meraih slot ke Liga Perdana 2018, tambahan dengan ketiadaan nama-nama besar serta antara pasukan yang berbelanja rendah dalam Piala FAM berbanding semua pasukan lain.

Namun, kejayaan mereka menyingkirkan Shahzan Muda FC dengan agregat 1-0 dalam separuh akhir menerusi gol Faidzol Fadzreen pada minit ke-110 memastikan satu sejarah baru buat skuad The Varsity Boys itu.

Jelas Sulaiman, pihak pengurusan kelab bola sepak UKM telah memberikan isyarat yang mereka akan menyiapkan sebuah pasukan lebih mantap untuk menghadapi Liga Perdana.

"Saya fikir selepas sehari dua ini, kami sudah boleh mula bincang, bukannya selepas final kerana dana adalah satu perkara yang paling penting.

"Liga Perdana adalah satu pertandingan yang memerlukan perbelanjaan yang sangat tinggi. Kami memerlukan persiapan yang lebih baik daripada apa yang kami lakukan pada tahun ini. Paling sedikit adalah di bawah RM5 juta," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan di Stadium Mini UKM semalam, Shahzan Muda menyifatkan nasib tidak menyebelahi mereka walaupun banyak menguasai perlawanan, terutama pada separuh masa kedua.

Jurulatihnya, Tajuddin Nor, kini menyerahkan nasib kepada pihak pengurusan sama ada pasukan itu akan terus dikekalkan bagi menghadapi Piala FAM musim depan.

"Pengalaman pemain kami kurang. Ada dua, tiga pemain yang berpengalaman tetapi selebihnya pemain muda.

"Mereka masih kurang lagi bermain di peringkat suku akhir atau separuh akhir. Jadi, di sini ia dapat mematangkan lagi pemain-pemain saya," katanya.