Masalah komunikasi di bahagian benteng disifatkan punca kekalahan UKM FC kepada Terengganu FC (TFC) II dalam aksi final kedua Piala Cabaran di Kuala Terengganu, malam tadi.

Menurut pengendalinya, Sulaiman Hussin, walaupun dibayangi kelebihan fizikal awang import TFC II, dua jaringan daripada gerakan sama oleh Andrew Jean-Baptiste dan Akanni Sunday Wasiu seharusnya boleh dielakkan.

Sulaiman, begitupun, berbangga dengan persembahan The Varsity Boys yang gagal meraih kemenangan dalam enam pertemuan dengan TFC II tahun ini.

"Tahniah kepada TFC II, kami mampu beraksi lebih baik, namun persembahan yang ditunjukkan adalah di bawah keupayaan sebenar.

"Pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik dan mara ke final sudah pun menjadi pencapaian cemerlang bagi mereka," jelasnya.

Bersikap terbuka dalam menentukan hala tuju pada 2019, Sulaiman berkata dia berharap dapat terus menabur khidmat bersama UKM FC dalam Liga Perdana.

Memasuki tahun ke-12 bersama skuad universiti itu, pelbagai pahit manis dicipta bekas pemain Kuala Lumpur itu sejak UKM FC menyertai Liga IPT dengan impian lebih besar menjadi sasarannya, iaitu Liga Super.

"Pasukan ini akan menjadi lebih baik musim depan kerana banyak pengalaman telah dikutip.

"Malah, TFC bimbingan Irfan Bakti (Abu Salim) juga merisik beberapa pemain saya dan itu membuktikan kualiti kami tetapi saya berpendapat adalah lebih baik mereka menamatkan pelajaran terlebih dahulu."