UiTM perkenal diploma eksekutif pengajian bola sepak

Oleh Penulis Jemputan 18 Oktober 2018 581
UiTM perkenal diploma eksekutif pengajian bola sepak
Industri bola sepak tanah air akan terus diperkasakan hasil pengenalan satu pengjajian diploma eksekutif yang bakal ditawarkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bermula 2019.

Pengajian berbentuk luar kampus di bawah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM itu membabitkan beberapa aspek sukan bola sepak, antaranya penajaan, media, pengurusan kelab serta pemasaran yang berupaya meningkatkan kualiti sukan tersebut di masa akan datang.

UiTM menyasarkan individu lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 sebagai perintis program itu tetapi terbuka menerima permohonan golongan profesional bola sepak seperti pemain dan jurulatih.

"Kami juga berharap individu serta golongan profesional seramai mungkin yang akan terlibat dengan program ini kerana ia bersifat eksekutif dan banyak bersandar kepada pengalaman di samping memiliki tutorial dan kuliah," ujar Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Datuk Profesor Dr Abdullah Mohamad Said.

"Ini adalah satu usaha yang murni. Ia memberi peluang kepada pemain bola sepak di negara kita agar lebih terpelajar dan berketerampilan," tambah Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Banyak kebaikan yang boleh diraih daripada program diploma ini kerana ia melibatkan pembelajaran jarak jauh. Bukan sahaja untuk bola sepak tetapi mungkin melibatkan atlet-atlet lain."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen