Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengumumkan pertandingan baru peringkat kelab yang akan dilancarkan pada 2021.

Pengwujudan pertandingan yang setakat ini dikenali sebagai UEL2 itu diluluskan dalam mesyuarat di Berlin dengan cadangan asal melibatkan penyertaan 34 negara dari benua itu dalam saingan peringkat kumpulan.

Ia akan berlangsung serentak dengan Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa dengan melibatkan 32 pasukan dan hari pertandingan akan berlangsung setiap Khamis.

Juara pertandingan itu akan layak ke Liga Europa, musim berikutnya.

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, berkata: "Pertandingan baru UEFA ini akan menjadikan persaingan dalam kelab-kelab peringkat Eropah lebih terbuka berbanding sebelum ini.

"Ia akan menjanjikan lebih banyak perlawanan melibatkan pelbagai pasukan.

"Terdapat banyak permintaan daripada pasukan-pasukan Eropah untuk terlibat dalam pertandingan peringkat benua ini.

"Ia dapat direalisasikan dengan pendekatan strategik berdasarkan objektif UEFA untuk memiliki lebih banyak pertandingan yang berkualiti di peringkat kelab."