Liga Juara-Juara Eropah akan diteruskan sebagai kejohanan lapan pasukan bertempat di Lisbon, demikian disahkan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Semalam, Jawatankuasa Eksekutif UEFA memberikan lampu hijau buat ibu negara Portugal itu menjadi tuan rumah sehingga tamat kejohanan kelab elit Eropah itu, selepas ia terpaksa ditangguhkan sejak Mac lalu beikutan pandemik Covid-19.

Saingan suku akhir akan berlangsung selama empat hari dari 12 hingga16 Ogos depan manakala perlawanan separuh akhir pula berlangsung pada 18 dan 19 Ogos depan.

Perlawanan akhir akan diadakan di Estadio da Luz milik Benfica empat hari kemudian.

UEFA turut mengesahkan bahawa tiada format timbal balik bagi perlawanan suku akhir dan separuh akhir dengan Estadio Jose Alvalade milik Sporting CP akan menjadi venue perlawanan.


Perlawanan pusingan 16 akan ditamatkan pada 7 dan 8 ogos depan walaupun masih belum ada keputusan sama ada ia akan dijalankan tanpa penonton di venue pasukan tuan rumah atau di Portugal.

Estadio do Dragao di Porto dan Estadio Dom Afonso Henriques di Guimaraes boleh bertindak sebagai venue pertandingan sekiranya diperlukan.

"Saya gembira kerana kami dapat menyambung semula hampir kesemua pertandingan. Saya yakin kita tidak perlu kekal lama tanpa kehadiran peminat dan mereka akan dibenarkan untuk masuk ke stadium lebih awal daripada yang dijangkakan," kata presiden UEFA ,Aleksander Ceferin.

"Komuniti bola sepak telah bekerjasama dan menunjukkan perpaduan yang luar biasa dalam krisis yang belum pernah terjadi sebelum ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada FIFA (Persekutuan Bolasepak Dunia), persekutuan wanita, persatuan kebangsaan, kelab, liga, pemain dan pihak berkuasa yang berkenaan di atas sokongan dan komitmen yang berterusan mereka dan saya yakin bahawa kita akan keluar daripada krisis ini dengan lebih kuat dan mempunyai hubungan yang lebih rapat berbanding sebelumnya," katanya.

Stadium Olimpik Istanbul sepatutnya menjadi venue perlawanan akhir bulan lalu tetapi pandemik Covid-19 menjadikan perkara itu amat mustahil untuk berlaku.

UEFA turut mengesahkan bandar itu akan menjadi venue final musim 2021 dengan tuan rumah bagi tiga edisi berikutnya, iaitu St Petersburg, Munich dan London (Wembley), turut bersetuju untuk menganjakkan tempoh setahun.

Turut diumumkan bahawa Jerman akan menjadi venue bagi saingan Liga Europa bermula dengan peringkat suku akhir di mana Cologne, Duisburg, Dusseldorf dan Gelsenkirchen antara bandar yang dipilih sebagai venue perlawanan dari 13 hingga 21 Ogos depan.

Enam perlawanan kedua pusingan 16 masih belum berjalan dan UEFA masih belum membuat sebarang keputusan mengenai venue perlawanan itu. Perlawanan di antara Sevilla dan Getafe akan diadakan dengan format satu perlawanan di satu venue yang akan ditentukan.

Gdansk sepatutnya menjadi venue final Liga Europa musim ini, di mana akan berlangsung di Cologne, dan giliran itu akan di bawa ke tahun depan.