UEFA bakal ambil tindakan terhadap insiden di Bulgaria 

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2019 2785
 UEFA bakal ambil tindakan terhadap insiden di Bulgaria 
Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mendapati Kesatuan Bolasepak Bulgaria (BFU) terbabit dengan tingkah laku perkauman yang dicetuskan penyokongnya dalam perlawanam kelayakan Euro 2020 yang membabitkan England di Sofia, semalam. 

Perlawanan yang dimenangi skuad Three Lions 6-0 itu dihentikan sebanyak dua kali akibat ejekan perkauman yang diarahkan kepada pemain pelawat yang berkulit hitam.

Segelintir penyokong kemudian diusir dari Stadium Nasional Vasil Levski itu susulan tindakan meniru bunyi monyet ke arah Raheem Sterling, Tyrone Mings dan Marcus Rashford selain dilihat membuat tabik ala Nazi.

Kejadian memalukan itu mendorong Presiden BFU, Borislav Mihaylov, meletak jawatan semalam selepas Perdana Menteri, Boyko Borissov, mengancam untuk memotong bantuan dana jika dia tidak berbuat demikian. 

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, mendesak "keluarga bola sepak" dan pihak berkuasa, termasuk kerajaan agar "berperang dengan golongan penyokong yang bersikap perkauman" sambil organisasinya kini telah mengambil tindakan.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh UEFA berbunyi: "Satu prosiding tatatertib telah dibuka berikutan (insiden) perlawanan kelayakan Euro di antara Bulgaria dan England (0-6), pada 14 Oktober (awal pagi semalam).

"Kesatuan Bola Sepak Bulgaria berdepan dakwaan: tingkah laku rasis (nyanyian, tabik Nazi), melemparkan objek, gangguan ketika lagu kebangsaan dan ulang tayang di skrin gergasi."

England FA juga perlu menjawab dua pertuduhan ekoran gangguan lagu kebangsaan selepas peminat England diejek sebelum sepak mula. 

Di samping itu, "jumlah anggota keselamatan yang disediakan pelawat juga tidak mencukupi" dan ini bermakna pihak FA turut berdepan tuduhan melanggar peraturan keselamatan UEFA.

Sehubungan itu, Badan Kawalan, Etika dan Tatatertib UEFA akan menangani kes berkenaan. 

Sementara itu, UEFA juga sedang mengenal pasti gaya tabik pemain-pemain Turki dalam pertemuan dengan Albania dan Perancis -- satu bentuk sokongan yang jelas mengenai serangan ketenteraan negara mereka di wilayah yang dikuasai puak Kurdis di utara Syria.

Badan bola sepak Eropah itu sama sekali melarang sebarang penyataan politik yang boleh membangkitkan kemarahan di dalam stadium.

UEFA berkata: "Bahagian penyiasat etika dan tatatertib telah dilantik untuk memulakan siasatan disiplin berkaitan dengan potensi tingkah laku politik oleh pemain pasukan kebangsaan Persekutuan Bola Sepak Turki yang provokatif dalam perlawanan kelayakan Euro 2020 ketika menentang Persatuan Bola Sepak Albania pada 11 Oktober 2019 dan pasukan kebangsaan Persekutuan Bolasepak Perancis pada 14 Oktober 2019."


 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen