UDINESE 2 JUVENTUS 1

Maurizio Sarri percaya Juventus dalam keadaan"letih secara fizikal dan mental" selepas tunduk mengejut kepada Udinese, awal pagi tadi.


Sejurus Matthijs de Ligt meletakkan Juve di landasan tepat untuk merebut gelaran Serie A, Udinese yang terancam penyingkiran kemudian menyamakan kedudukan menerusi Ilija Nestorovski sebelum Seko Fofana menjaringkan gol kemenangan dramatik pada minit ke-92, sekali gus meninggalkan Juve enam mata mendahului saingan dengan baki tiga perlawanan.

Sarri meratapi keletihan pasukannya di celah jadual padat yang menyaksikan mereka mengharungi perlawanan yang keenam bulan ini.

"Dalam tempoh ini, kami letih baik daripada segi fizikal dan mental, ini adalah masalah biasa yang dihadapi oleh semua orang," kata pengurus Juventus itu.

"Atas sebab beraksi dengan agresif adalah sesuatu yang lebih melelahkan, jadi perkara paling penting ketika ini ialah melakukannya dengan tersusun memandangkan rentak perlawanan boleh berubah dengan sangat mudah.

"Sukar untuk mengekalkan tempo dalam setiap perlawanan dan kadang-kadang, ia terjadi seperti hari ini, kami kehilangannya."






Juve, bagaimanapun, berpeluang untuk menjulang gelaran Serie A yang kesembilan berturut-turut apabila menjadi tuan rumah kepada Sampdoria, awal pagi Isnin ini.

Sarri berkata fokusnya terarah sepenuhnya kepada pertembungan itu dan bukannya pertemuan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Lyon bulan depan.

"Buat masa ini saya belum memikirkan soal UCL, dalam fikiran saya hanya ada perlawanan bertemu Sampdoria," katanya.

"Kami harus memberi perhatian kepada saingan liga, kemudian barulah kami akan memikirkan UCL itu."