UCL: Zidane sedar Madrid tidak beraksi baik

Oleh Muzaffar Musa 25 Februari 2021 321
UCL: Zidane sedar Madrid tidak beraksi baik
Zinedine Zidane mengakui faktor kecederaan tidak memihak Real Madrid ketika hanya meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Atalanta dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Pemain tengah Atalanta, Remo Freuler, diarahkan keluar padang selepas melakukan foul profesional ke atas Ferland Mendy seawal minit ke-17 perlawanaan pertama pusingan 16 itu di Stadium Gewiss.

Madrid mendominasi penguasaan bola tetapi hanya dapat melakukan tiga percubaaan tepat sebelum Mendy menjaringkan gol pertamanya di peringkat Eropah pada empat minit terakhir untuk memenangi perlawanan itu.

Skuad tempang Los Blancos itu, yang menyaksikan Karim Benzema dan Eden Hazard berada dalam senarai kecederaan jangka panjang, kelihatan kekurangan idea untuk merangka serangan berbisa sebelum jaringan pada penghujung perlawanan itu dihasilkan Mendy.

Zidane sedar kemenangan kelima berturut-turut Madrid itu tidak cantik tetapi dia lega untuk membawa kelebihan tipis menjelang perlawanan kedua di laman sendiri 16 Mac depan.

Ketua jurulatih Madrid itu berkata: "Kami tidak bermain baik malam ini tetapi saya fikir perkara paling penting adalah keputusannya.

"Pada akhirnya, jaringan itu amat penting buat kami. Masih ada perlawanan kedua tetapi ia keputusan yang baik."
 
Bekas pemain tengah Perancis itu menambah: "Terdapat ramai yang cedera tetapi kami terus melakukannya dengan baik. Pemain yang berada di sini amat komited."

Zidane turut memuji Isko, yang hanya melakukan penampilan kelimanya musim ini -- penampilan pertamanya dalam UCL -- kerana dapat memenuhi peranan Benzema, yang masih perlu direhatkan.

"Sudah lama dia tidak bermain dengan minit yang panjang seperti ini dan dia telah melakukannya dengan amat baik biarpun bukan di posisi asalnya.

"Dia telah bermain dengan baik, kami sedar dia mampu memberikan sesuatu dan dia telah melakukannya dengan amat baik.

"Apabila dia beraksi, dia memberikan segala-galanya di atas padang.

"Ia satu kemenangan dan dia telah melakukan tugasnya dengan baik selama lebih dari sejam," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen