Pep Guardiola percaya Liga Juara-Juara (UCL) musim ini akan menjadi lebih sukar untuk ditawan Manchester City.

City beraksi dalam musim UCL ke-10 berturut-turut tetapi gagal melepasi peringkat separuh akhir sejak Manuel Pellegrini melakukannya pada musim 2015-16.

Guardiola, yang dua kali memenangi saingan berprestij Eropah itu sebagai pengurus Barcelona, ​​dilantik untuk mengemudi City yang mengimpikan kejuaraan Eropah.

Di bawah pengurus dari Catalan itu, mereka tekal ke fasa kalah mati tetapi tidak pernah menembusi peringkat suku akhir.

Menjelang pertembungan Kumpulan C dengan Olympiacos awal pagi esok, Guardiola mengakui cabaran untuk menjadi juara Eropah nampaknya semakin tinggi saban musim.

"Ia sukar, sangat sukar. Ada banyak contoh untuk membuktikan apa yang saya katakan," katanya dalam sidang media semalam.

"Pengurus perlu membuat persiapan lebih rapi untuk menghadapi banyak perlawanan dan mereka tahu apa yang harus dilakukan. Setiap pasukan akan bertambah baik.

"Terdapat lebih banyak wang, bukan hanya beberapa kelab. Banyak kelab berpeluang untuk berbelanja dan membeli pemain selain kemunculan pengurus hebat.

"Ia sukar. Lihatlah apa yang berlaku musim lalu, Atalanta layak ke separuh UCL dan liga Itali sungguh luar biasa.

"Shakhtar Donetsk pula, lihat apa yang berlaku dan sekarang di Real Madrid dan ketika mereka mengikat Inter. Ia tidak masuk akal, ia tidak pernah wujud sebelum ini. Tidak kira ke mana anda pergi sekalipun.

"Sukar untuk lolos ke peringkat kalah mati, setiap kali kami layak, saya mengucapkan tahniah kepada pemain, menikmati saat itu 'tetapi ini akan menjadi kejayaan pertama kami musim ini, iaitu layak ke pusingan berikutnya."



Guardiola pernah berhitung dengan Olympiacos dalam dua perlawanan, iaitu dalam kemenangan 3-0 dan 4-0 di tempat sendiri ketika mengasuh Bayern Munich pada musim 2015-16.

City di bawah sentuhannya belum tewas dalam 13 perlawanan terakhir peringkat kumpulan apabila memenangi lima daripada enam pertemuan di Stadium Etihad.

Walaupun City kini di puncak Kumpulan C hasil kemenangan 3-1 ke atas Porto dan kemenangan 3-0 dengan Marseille, Guardiola menuntut pemainnya supaya mengekalkan fokus.

Dia berkata: "Sangat sukar untuk menghadapi setiap perlawanan. Dengan COVID-19, keadaan menjadi lebih tidak menentu di semua kelab. Anda perlu beraksi dan berjuang, pergi ke mana-mana sekalipun harus beraksi dengan baik untuk mengalahkan mereka.

"Saingan tempatan juga sukar. Itulah sebabnya saya gembira setakat ini. Kami tidak boleh melepaskan peluang ini untuk memungut sembilan mata dan berada di kedudukan selesa dan hanya selangkah lagi untuk ke babak 16 pasukan terbaik di Eropah, itulah sasarannya kami.

"Porto merupakan pasukan yang harus menang pada setiap hujung minggu. Begitu juga Olympiacos, mereka perlu menang jadi dengan mentaliti begini, kami akan berdepan kesukaran."