Pemenang dua kali Liga Juara-Juara (UCL), Real Madrid, akan berdepan gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), dalam perlawanan pusingan 16.

Dalam undian di Lyon hari ini, Real, yang menamatkan saingan peringkat Kumpulan H di tangga kedua di belakang Tottenham, telah diundi berdepan PSG.

Dua aksi di antara kedua-dua pasukan ini akan menyaksikan Neymar kembali bertemu Real buat kali pertama sejak meninggalkan Barcelona.

Neymar akan turut mengintai peluang untuk mempamerkan aksi lebih cemerlang berbanding Cristiano Ronaldo dalam usaha untuk mencabar anugerah Ballon d'Or pada masa akan datang.

Malang buat Unai Emery – yang tidak pernah menang sebarang perlawanan di Santiago Bernabeu ketika tempohnya dalam LaLiga – dengan PSG turut gagal melakar sebarang kemenangan ketika bertemu Los Blancos.

Satu lagi pertembungan sengit menyaksikan Chelsea berdepan Barcelona, dengan kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak 10 kali dalam pusingan kalah mati.

Buat kali pertama dalam saingan peringkat Eropah, Juventus akan berdepanTottenham sambil akan berlaku perhitungan di antara dua bekas pemenang Liga Europa apabila Sevilla berdepan dengan Manchester United.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, akan berdepan Basel manakala Liverpool bertemu Porto.

Bayern Munich akan berdepan tugas rumit bertemu Besiktas manakala Roma akan berkunjung ke Shakhtar Donetsk.