UCL: Pemain PSG dakwa dimaki pengadil

Oleh Muzaffar Musa 5 Mei 2021 4355
UCL: Pemain PSG dakwa dimaki pengadil
Dua pemain Paris Saint-Germain (PSG), Marco Verratti dan Ander Herrera,  menuduh pengadil, Bjorn Kuipers, telah memaki mereka ketika kelab itu disingkirkan dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Harapan PSG untuk layak ke final UCL buat musim kedua berturut-turut musnah di tangan Manchester City, yang menang 2-0 di stadium Etihad untuk layak ke penentuan kejuaraan itu buat kali pertama dalam sejarah menerusi kelebihan 4-1 secara agregat.

Riyad Mahrez menjaringkan dua gol buat City, di mana PSG menamatkan perlawanan kedua itu dengan 10 pemain selepas Angel Di Maria dilayangkan kad merah kerana memijak kaki Fernandinho pada minit ke-69.

Verratti dan Herrera kelihatan berang dengan keputusan pengadil mengarahkan Di Maria keluar padang di Manchester, di mana PSG menjadi pasukan ketiga mendapat kad merah dalam kedua-dua perlawanan timbal balik separuh akhir UCL selepas Deportivo La Coruna ketika berdepan Porto (2003-04) dan Lyon ketika menentang Bayern Munich (2009-10).

Selepas naib juara musim lalu itu sah tersingkir, bintang PSG, Verratti, dan rakan sepasukannya, Herrera, mengecam tindakan Kuipers.

 
"Pengadil memaki saya 'f*** you' sebanyak dua kali," kata Verratti kepada RMC selepas perlawanan itu.

"Jika saya melakukannya, saya pasti digantung. Sudah pasti saya banyak mempertikaikan pengadil tetapi saya tidak pernah berkata 'f*** you'."

Herrera menambah: "Kita bercakap mengenai hormat kepada pengadil. Pengadil malam ini bekata 'f*** Off' kepada (pemain tengah PSG) Leandro Paredes

"Jika kami berkata seperti itu, kami akan digantung tiga atau empat perlawanan."

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen