Maurizio Sarri percaya Juventus "disumpah" dalam Liga Juara-Juara (UCL) apabila terkandas di tangan Lyon awal pagi tadi.

Walaupun dua gol Cristiano Ronaldo membantu Juve menang 2-1 di Turin, tetapi peraturan gol di tempat lawan menyaksikan mereka tersingkir selepas seri dengan agregat 2-2 dalam pusingan 16 itu.

Memphis Depay memberikan Lyon keunggulan dalam pertemuan kedua itu untuk membuatkan Juve terus kempunan memburu gelaran UCL pertama sejak 1996.

Sarri, yang berada di bawah tekanan yang semakin meningkat, berkata juara Serie A itu mempunyai sumpahan dalam kejohanan itu.

"Kami tersingkir daripada saingan ini walaupun kami menang enam daripada lapan perlawanan yang kami tempuhi, kami seri sekali dan kalah sekali. Ini bermakna dalam lapan perlawanan, kami berjaya mengutip 19 mata," katanya dalam sidang akhbar.



"Sekiranya wujud kedudukan UCL, maka kami akan berada di tempat pertama atau kedua. Sebaliknya, kami kalah. Itulah sebabnya saya berasa sangat sedih. Ini menyedarkan saya bahawa dalam kejohanan ini, Juventus terkena badi.

"Sekiranya saya berada terkilan, pasti saya akan tersingkir daripada pertandingan ini dengan senyuman di wajah saya. Barisan pemain saya beraksi dengan baik, mereka telah berhempas pulas, mereka berjuang hingga saat-saat akhir, mereka mencurahkan segalanya dengan sepenuhnya hati dan bersemangat. Saya menghargainya. "

Lyon dan Juventus masing-masing dihadiahkan sepakan penalti kontroversi yang menyaksikan Depay dan Ronaldo saling menyempurnakan amanah itu.

Sarri berasakan penalti yang diberikan kepada Lyon adalah tindakan "gila" sambil menyatakan kekesalan terhadap kekalahan pertemuan pertama.

"Kami beraksi dengan baik. Dalam perlawanan di mana kami harus bangkit, kami melepaskan satu gol kerana satu sepakan penalti gila. Pada pendapat saya, bola tidak seharusnya sampai ke kotak penalti kerana saya fikir cukup jelas kekasaran terhadap (Gonzalo) Higuain. Hukuman itu sendiri saya rasa boleh diperdebatkan, " katanya.

"Pengadil jelas tidak layak untuk mengendalikan situasi seperti ini kerana bagi kami, untuk melepaskan gol itu beerti kami seperti dibolosi dua jaringan. Kami tetap berjuang dan berusaha mengubah perlawanan, tetapi kami kehausan tenaga.

"Kami mempunyai dua atau tiga peluang untuk mencetak gol pada penghujung permainan menerusi tandukan Cristiano Ronaldo, Higuain dan saya fikir (Leonardo) Bonucci juga, jadi saya rasa kami sudah hampir untuk layak.

"Sekiranya kami mahu menyesal, ia harus kerana prestasi kami sendiri di Lyon. Di tahap seperti ini, kami perlu membayar harga yang mahal."

Sementara itu, pengerusi juara Serie A itu, Andrea Agnelli, mengesahkan akan terus menagih kudrat Ronaldo tetapi enggan mengesahkan kedudukan Sarri.

"Saya yakin Ronaldo akan kekal bersama kami. Dia tunjang kepada Juventus.

"Musim ini tidak boleh dinilai menerusi satu perlawanan sahaja. Kami akan menganalisanya bersama kakitangan, barisan jurulatih dan juga pemain.

"Segala-galanya akan memberi kesan kepada semua orang," katanya.