Pep Guardiola memuji nafsu yang dimiliki Riyad Mahrez dalam perlawanan besar selepas pemain sayap Manchester City itu menjaringkan gol berganda dalam memastikan kemenangan 2-0 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dan layak ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Sepakan percuma Mahrez memastikan kemenangan 2-1 dalam perlawanan pertama di Parc des Princes minggu lalu dan kali ini, dia menjaringkan satu gol dalam setiap babak untuk memastikan kemenangan agregat 4-1 buat pasukannya.

Bekas pemain Leicester City itu melalui waktu sukar sejak menyertai City pada 2018 tetapi dia akan menjadi pilihan utama Guardiola apabila empat gol dan dua bantuan yang dihasilkan dalam kejohanan itu musim ini meletakkan City hanya dibezakan satu perlawanan untuk mengecap kejuaraan UCL pertama.

"Riyad pemain yang luar biasa -- berbakat besar, kualiti yang besar, terutama dalam perlawanan besar yang dia sentiasa bersedia," kata pengurus City, Guardiola, dalam sidang media selepas perlawanan.

"Dia menyedari kualiti yang dimilikinya. Dia pemain yang hebat.

"Pemain di peringkat ini akan dinilai dengan bagaimana mereka berkelakuan dalam senario besar, ujian yang besar.

"Dia menggemarinya dan menikmatikanya. Dia menghasilkan gol yang hebat, yang pertama dengan kaki kanan dan yang kedua dengan penyudahnya. Tiga gol sepanjang penentuan ini, dia layak mendapat pujian," katanya.

Fernandinho merupakan pilihan yang mengejutkan dalam perlawanan pada hari lahirnya yang ke-36 itu tetapi Guardiola berasakan ketua pasukannya itu telah menjalankan tugasnya dengan baik.

"Terutama dalam babak kedua, dia memang luar biasa. Kami melakukan sedikit perubahan (pada waktu rehat) untuk menyokong John (Stones) dan Ruben (Dias).

"Dia amat bagus, benar-benar bagus. Ia hari lahirnya, hadiah yang besar. Dia telah menjadi kapten yang luar biasa sepanjang musim ini, mengetuai kami dalam waktu sukar dan dia bermain dengan amat baik," katanya.