Sergio Conceicao berkata Porto kini berada dalam keyakinan tinggi untuk bangkit dan menyingkirkan Chelsea daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Menjelang suku akhir kedua di Stamford Bridge awal pagi esok, pasukan juara Liga Primeira itu berdepan misi sukar untuk menterbalikkan keputusan tewas 0-2 di laman sendiri dalam perlawanan pertama minggu lalu.

Porto hanya memenangi satu daripada 20 perlawanan peringkat kalah mati di gelanggang lawan, iaitu ketika menewaskan Deportivo de La Coruna dalam separuh akhir pada 2004.

Conceicao memberikan amaran kepada Chelsea bahawa pasukannya sudah bersedia untuk berjuang habis-habisan untuk merampas slot selaku empat pasukan terbaik musim ini.

"Terdapat banyak momen sepanjang beberapa tahun ini yang dapat dijadikan contoh untuk mengatasinya dan percaya," kata ketua jurulatih Porto itu.

"Kami berkeyakinan. Kami sedar kami akan berdepan ranjau yang sukar tetapi kami berada di sini untuk memberikan jawapan yang perlu kami berikan. Perasaan apabila mewakili kelab penuh bersejarah ini dan DNA yang sentiasa ada di atas padang."

Conceicao menambah: "Kami perlu menjadi pasukan yang kompak dan bersatu. Ia penting untuk mendapatkan gol tetapi ia juga penting untuk tidak menerima padah.

"Dalam perlawanan pertama, kami bermain dengan baik tetapi tidak cukup baik. Jika kami dapat melakukannya, kami mungkin akan memenangi perlawanan itu. Kami akan mencuba untuk memperbaiki sedikit persembahan yang baik itu.

"Masih ada lebih daripada 90 minit untuk FC Porto, ia memerlukan kemampuan untuk percaya dan berdaya tahan.

"Kami sentiasa mencuba untuk turun dengan semangat seperti itu.

"Kami bersedia untuk menyertai pertarungan ini dan bertempur," katanya.