Napoli perlu "memanjat gunung Everest" jika mereka berhasrat mengatasi Barcelona dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), kata Gennaro Gattuso.

Sesudah seri 1-1 di Itali Februari lalu, Barca memiliki kelebihan tipis berdasarkan peraturan gol di tempat lawan menjelang perlawanan timbal balik di Camp Nou awal pagi esok.

Blaugrana tampil mengecewakan sejak baki saingan ini kembali -- mereka melepaskan pendahuluan dua mata ke atas Real Madrid di puncak LaLiga sebelum menamatkan kempen dengan dipisahkan lima mata dengan juara LaLiga itu -- sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai masa depan pengurus, Quique Setien.

Namun, pengurus Napoli itu masih menganggap mengatasi Barca dalam usaha layak ke suku akhir di Lisbon sebagai salah satu cabaran yang paling sukar dihadapi oleh pasukannya.

"Mereka sudah terbiasa menang dan saya tahu bahawa apabila anda sudah biasa menikmatinya, anda akan selalu mahu melakukannya. Esok kami perlu mendaki gunung Everest," katanya semalam.

"Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, saya telah mendengar banyak perkara lucu, misalnya 'Barcelona bukan dalam prestasi sebenar' tetapi jika anda menonton permainan mereka, ada beberapa pemain yang beraksi cemerlang.

"Kami sedar ia akan menjadi satu perlawanan yang sangat sukar buat ami. Kami sedar pasukan apakah yang menanti kami dan kami tahu bahawa kami harus menampilkan satu persembahan yang hebat, baik secara teknikal mahupun taktik dan ia mungkin tidak akan mencukupi.

"Kami tahu kami bakal menghadapi jaguh yang hebat. Anda memerlukan permainan hebat untuk keluar dengan keputusan yang baik."



Gattuso turut menawarkan perkembangan positif mengenai kecergasan Lorenzo Insigne, yang terhincut-hincut dalam kemenangan ke atas Lazio hujung minggu lalu ekoran kecederaan pangkal paha.

"Semalam dia berlatih 50 peratus. Hari ini dia 100 peratus akan bersama pasukan," katanya.

"Saya ingin tahu apakah dia berasa dalam keadaan 100 peratus esok. Sekiranya tidak, dia tidak akan berada di atas padang dari minit pertama. Sekiranya dia berada di tahap 100 peratus, maka dia akan diturunkan dan membantu kami melakukan permainan yang hebat."