Pemain tengah Barcelona, Arda Turan, berhasrat untuk bersara di kelab gergasi La Liga itu tanpa mengira berapa kerap dia beraksi.

Pemain antarabangsa Turki itu bermain dalam semua tujuh perlawanan liga membabitkan Barca untuk membantu pasukan bimbingan Luis Enrique itu menduduki tangga keempat di sebalik aksi tidak menentu dalam perlawanan musim ini.

Turan, 29, menyertai Barca tahun lalu dan sudah mula berkira-kira untuk menamatkan kerjayanya di Camp Nou.

"Barcelona adalah pasukan terbaik di dunia," katanya kepada Radyospor.

"Saya rasa berhak menyarung jersi ini. Andai saya diperlukan untuk hanya seminit, saya akan bermain untuk seminit. Jika saya perlu kekal di bangku simpanan, maka saya akan kekal.

"Saya memberikan aksi terbaik saya sewaktu berada dalam kesebelasan utama. Jurulatih sering menunjukkan bahawa dia gembira dengan saya.

"Saya mahu menamatkan kerjaya saya di Barcelona."

Turan sekali lagi dipinggirkan jurulatih Turki, Fatih Terim, yang bakal berdepan Ukraine dan Iceland dalam kempen Kelayakan Piala Dunia.

Pemain yang telah tampil sebanyak 94 kali di peringkat antarabangsa itu berkata, "Tujuan saya adalah untuk sentiasa membantu bola sepak Turki.

"Saya berjanji akan melakukan segala-galanya dengan kudrat saya untuk tujuan itu.

"Jika membuka pintu, maka saya akan datang. Jika tidak, saya juga tidak akan berbuat demikian."